Sebanyak 32.28 peratus daripada 1,292 kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air tidak berjadual telah pulih sepenuhnya.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Elina Baseri berkata sehingga pukul 6.30 pagi tadi (Ahad), sebanyak 417 kawasan pulih sepenuhnya manakala 875 kawasan masih lagi dalam proses pemulihan.

"Gangguan bekalan air tidak berjadual ini ekoran henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1,2,3 dan Rantau Panjang pada 3 September lalu.

"Berikut merupakan pemulihan mengikut wilayah iaitu Petaling 37.17 peratus; Klang dan Shah Alam (7.91%); Gombak (11.31%); Kuala Lumpur (0%); Hulu Selangor (94.12%); Kuala Langat (0%) dan Kuala Selangor sebanyak 91.7 peratus," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Elina berkata usaha menstabilkan sistem agihan bekalan air sedang giat dilaksanakan untuk mempercepatkan proses pemulihan bekalan air ke kawasan yang masih terjejas.

status, pemulihan air, selangor

"Air Selangor memohon kerjasama para pelanggan yang telah menerima bekalan agar menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan bagi kawasan yang masih terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual pelan pemulihan yang ditetapkan.

"Air Selangor juga telah menyediakan pili-pili awam dan Pusat Khidmat Setempat bagi tujuan mendapatkan bekalan air bersih," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya akan terus memaklumkan status terkini kepada pelanggan dari semasa ke semasa menerusi media massa dan semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang di www.airselangor.com.