BUKIT MERTAJAM: Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) melancarkan aplikasi mudah alih dikenali sebagai 'KPTM Pocket' bagi membantu pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendapat maklumat dan rujukan untuk menyambung pengajian di KPTM.

Ketua Pegawai Eksekutif KPTM, Radzuan Razali berkata, aplikasi itu merupakan satu inovasi penting dalam usaha memperkukuhkan jenama KPTM sebagai salah satu institusi pendidikan terbaik di negara ini.

Selain itu, beliau berkata aplikasi tersebut secara tidak langsung membantu pelajar mendapatkan informasi tanpa sempadan dengan cepat, mudah dan selamat.

Radzuan berkata, aplikasi tersebut juga boleh mengurangkan kesesakan ketika proses pendaftaran kemasukan pelajar kerana pengguna tidak perlu hadir secara fizikal ke kampus.

"Jadi untuk memudahkan lagi proses permohonan ini, kita melancarkan 'KPTM Pocket' yang semua pelajar boleh mendapat akses melalui telefon pintar mereka.

"Ini salah satu proses pendigitalan yang kita adakan di KPTM... untuk kita memudahkan lagi dan seiring dengan alam digital yang makin dekat dengan para pelajar," katanya kepada media selepas pelancaran aplikasi KPTM Pocket di Mydin Mall, Jalan Baru, Bukit Mertajam pada Isnin.

Beliau dalam pada itu berkata, Karnival Higher Education Tours (HITS) 2024 yang berlangsung serentak dengan pelancaran aplikasi berkenaan, membolehkan pihaknya mendekatkan diri dengan pelajar dan bakal pelajar KPTM.

Mengulas lanjut mengenai 'KPTM Pocket', Radzuan berkata, aplikasi tersebut akan turut dilengkapi ciri aduan yang membolehkan pelajar membuat laporan kejadian buli.

Ciri tersebut dibuat susulan isu buli di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) kini turut menjadi perhatian.

"Aplikasi KPTM Pocket ini juga akan mempunyai satu 'feature' yang membolehkan pelajar terus membuat aduan jika melihat kes buli. Mereka boleh masukkan maklumat, ia akan terus sampai kepada administrator dan kita akan ambil tindakan," katanya.

Radzuan memberitahu, pihaknya menyasarkan seramai mungkin pelajar akan memuat turun serta menggunakan aplikasi tersebut selepas ini.

Aplikasi KPTM Pocket itu katanya boleh diakses melalui telefon pintar dengan memuat turun secara percuma di Google Play untuk telefon pintar Android dan App Store (Iphone).

Dalam pada itu, Radzuan berkata, selain membangunkan aplikasi sendiri, KPTM turut memperkenalkan kaedah pembelajaran secara hibrid yang ditawarkan di beberapa lokasi iaitu di Kota Bharu, Bangi, Alor Setar dan Kuantan manakala program di peringkat ijazah pula ditawarkan di Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) di Kuala Lumpur.

Untuk rekod, KPTM telah menghasilkan seramai 80,000 graduan sejak penubuhannya pada 2003.