TELUK INTAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyita 11,000 diesel dalam serbuan di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Anson, di sini, hari ini.

Dalam serbuan yang bermula kira-kira jam 9 pagi itu, mereka turut menyita dua buah lori yang membawa dua tangki skid, di samping menahan seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun, untuk siasatan lanjut.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDN Perak, Mohamed Aznanshah Khalid berkata, nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM201,000.

Menurutnya, serbuan itu yang dilakukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Teluk Intan adalah hasil risikan yang telah dijalankan selama lebih seminggu.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 11 tangki fiber berkapasiti 1,000 liter yang berisi minyak disyaki diesel berada di premis tersebut.

“Pemeriksaan turut menemui dua buah lori tanah bertutup kanvas yang di atasnya terdapat tangki skid yang digunakan untuk mengumpul minyak diesel yang dibeli di stesen minyak sekitar Teluk Intan melalui tangki minyak asal yang telah diubah suai,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Menurutnya lagi, siasatan turut mendapati premis yang diperiksa tiada sebarang lesen atau kebenaran yang sah untuk menyimpan barang kawalan minyak diesel.

Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memiliki barang kawalan minyak diesel dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan kerana memiliki barang kawalan tanpa lesen, permit atau surat kebenaran.

“KPDN memberi amaran keras kepada semua yang berkaitan dan menegaskan bahawa kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket aktiviti haram ini,” tegasnya.

Beliau menyarankan masyarakat untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi.

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkenaan aktiviti itu ke mana-mana cawangan KPDN berdekatan untuk membanteras aktiviti penyelewengan dan mengelakkan berlakunya ketirisan subsidi kerajaan.