KOTA BHARU: Operasi Bersepadu oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama Majlis Daerah Ketereh dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan berjaya menahan dua individu termasuk seorang warga asing sekitar Ketereh dan Kok Lanas hari ini.

Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail berkata operasi dijalankan selepas pihaknya menerima aduan orang ramai mengatakan wujudnya premis yang menjual barangan melebihi harga kawalan ditetapkan termasuk minyak masak dan telur, selain jualan beras seludup serta rokok tidak sah.

"Dalam operasi itu, pihak berkuasa menyita sebanyak 198 kilogram (kg) gula pasir kasar, 20 kg tepung gandum, 590 kg minyak masak paket bersubsidi dan 174 kg cecair petroleum di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Turut disita ialah salinan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan salinan Lesen pihak berkuasa tempatan (PBT) melibatkan keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM3,256.70," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata daripada operasi berkenaan, sebanyak tujuh tindakan diambil melibatkan Akta Kastam 1967 (dua kes), Akta Kerajaan Tempatan (tiga kes) dan Akta Kawalan Bekalan 1961 (dua kes).

Azman berkata PBT mengeluarkan saman kepada dua premis kerana gagal mempamerkan lesen serta tindakan ke atas peniaga warga asing yang menjalankan perniagaan tidak seperti dilesenkan.

Operasi itu adalah hasil usaha berterusan pihak berkuasa dalam membanteras aktiviti salah laku peniaga terhadap pengguna, tambah Azman.

"KPDN Kelantan memastikan supaya pengguna dapat menikmati subsidi diberikan kerajaan.

"Kita mahu peniaga mematuhi perundangan ditetapkan selain memastikan juga bekalan mencukupi kepada pengguna," katanya.

-- BERNAMA