Pengarah KPDN negeri S Jegan berkata nilai rampasan itu membabitkan 724 kes di bawah pelbagai akta antaranya Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011, Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Timbang dan Sukat 1972.
"KPDN Pulau Pinang turut mengeluarkan kompaun berjumlah RM385,450 terhadap peniaga atas pelbagai kesalahan sepanjang tempoh sama," katanya pada sidang media di Kompleks Penyimpanan KPDN Pulau Pinang di Bukit Minyak, di sini hari ini.
Beliau berkata kejayaan operasi KPDN negeri itu kerana mendapat kerjasama orang ramai yang sentiasa menyalurkan maklumat mengenai salah laku dalam kalangan peniaga.
Sementara itu, Jegan berkata harga bagi kelapa, santan dan kelapa parut di Pulau Pinang masih terkawal dan masih stabil walaupun berlaku peningkatan harga kelapa.
Beliau berkata kenaikan harga kelapa dari Indonesia disebabkan permintaan tinggi dari Thailand dan keadaan itu menyebabkan harga diterima di Pulau Pinang adalah tinggi dengan RM2.29 sebiji di peringkat pengimport.
-- BERNAMA