Pengarah KPDN Perlis Hasbullah Abd Rashid berkata jumlah berkenaan menunjukkan penurunan mendadak selepas pelaksanaan Ops Tiris 3.0 sejak 1 Jan lepas, berbanding 312 kes membabitkan rampasan bernilai RM4.46 juta sepanjang tahun lepas.
Beliau berkata jumlah kompaun dikeluarkan dalam tempoh 10 bulan ini turut mencatat penurunan dengan sejumlah RM31,300 berbanding RM273,500 pada 2023.
"KPDN lihat Ops Tiris 3.0 ini berkesan, bahkan sekarang ini menerusi inisiatif baharu kerajaan iaitu Kita GEMPUR (Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan), kita akan terus pertingkat aktiviti penguatkuasaan di sempadan ini," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Dalam pada itu, Hasbullah berkata pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun disyaki terlibat aktiviti penyelewengan petrol dan merampas 300 liter bahan api terbabit bernilai RM615 di sebuah stesen minyak di sini malam tadi.
Beliau berkata tindakan kes itu hasil risikan selama dua minggu terhadap kereta jenis Nissan Sentra bernombor pendaftaran tempatan dinaiki lelaki itu.
"Pemeriksaan terhadap kereta itu menemukan tangki tambahan diubah suai dan berisi cecair disyaki minyak petrol," katanya dan menambah kereta terbabit disita manakala kes disiasat lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
-- BERNAMA