PADANG BESAR: Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis melaksanakan pemeriksaan harga barangan secara harian dalam usaha menangani isu berkaitan pencatutan harga barang dan perkhidmatan, khusus bagi menjayakan inisiatif penyasaran subsidi diesel dengan lebih berkesan.


Ringkasan AI
  • Pejabat KPDN Perlis melaksanakan pemeriksaan harga barang secara harian untuk menangani isu pencatutan harga. Mereka memfokuskan Ops Kesan 2.0 ke semua premis perniagaan, termasuk hotel dan kedai runcit, serta menyediakan saluran aduan khas bagi orang ramai.
  • Ops Kesan 2.0 Pelaksanaan Penyasaran Subsidi Diesel dimulakan pada 8 Jun lalu untuk memastikan tidak berlaku pencatutan harga dengan alasan pelarasan harga runcit diesel di stesen minyak.
  • Ops Tiris 3.0 KPDN Perlis bagi tempoh Jan-Mei 2024 merekodkan rampasan bernilai RM849,625 dari 58 kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, melibatkan minyak diesel, petrol RON95, minyak masak, gula, tepung gandum, dan gas petroleum cecair (LPG), dengan kerjasama agensi penguatkuasaan lain.


Pengarahnya Norazah Jaapar berkata menerusi Ops Kesan 2.0 pihaknya memfokuskan kepada pemeriksaan di semua premis perniagaan yang terlibat, termasuk hotel dan kedai runcit bagi membendung risiko pencatutan harga.

Beliau berkata pihaknya juga menyediakan saluran aduan khas melalui talian 012-6654292 bagi membolehkan orang ramai mengemukakan sebarang maklumat dan aduan berkaitan pelaksanaan SKDS (Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi) dan aduan berkaitan caj, harga dan bekalan.

Beliau ditemui pemberita selepas melakukan operasi penguatkuasaan bersama pegawai penguat kuasa negeri susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel yang bermula hari ini di sebuah stesen minyak di sini hari ini.

Ops Kesan 2.0 Pelaksanaan Penyasaran Subsidi Diesel mula berkuat kuasa 8 Jun lepas yang bertujuan memastikan tidak berlaku elemen pencatutan terhadap harga barang dan perkhidmatan dengan mengguna pakai alasan pelarasan harga runcit diesel di stesen minyak.

Sementara itu merujuk kepada Ops Tiris 3.0 bagi tempoh 1 Jan hingga 31 Mei lepas pula, KPDN Perlis telah merekodkan nilai rampasan berjumlah RM849,625 daripada 58 kes yang dikesan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 [Akta 112], dan 40 tangkapan.

Norazah berkata nilai rampasan itu melibatkan jenis komoditi barangan kawalan iaitu minyak diesel yang melibatkan 22 kes, petrol RON95 (19 kes), minyak masak (10 kes), gula dan tepung gandum (masing-masing dua kes), serta gas petroleum cecair (LPG) (tiga kes).

"Di bawah penguatkuasaan Ops Tiris 3.0 KPDN Perlis, bagi tempoh 1 Januari 2024 sehingga 31 Mei 2024, sebanyak 5,572 pemeriksaan telah dilakukan, meliputi pos kawalan di ICQS (Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan) Padang Besar dan Wang Kelian, stesen minyak, pemborong, kuari dan premis perniagaan lain," katanya.

Beliau berkata Ops Tiris 3.0 di Perlis ini turut melibatkan penguatkuasan bersepadu agensi-agensi penguatkuasaan lain termasuk polis, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Kastam.

-- BERNAMA