BUKIT MERTAJAM: Taktik sindiket menyeleweng diesel bersubsidi menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima yang diubah suai dengan meletakkan tangki simpanan di dalam kereta itu, berjaya dibongkar dalam serbuan di sebuah stesen minyak di Jalan Kulim, di sini semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang S.Jegan berkata pihaknya yang menjalankan risikan dan initpan berjaya mengesan MPV dalam keadaan mencurigakan di stesen minyak itu, pada 5 petang.

"Semasa serbuan, seorang lelaki berusia 30-an sedang mengisi minyak diesel ke dalam MPV mewah berwarna hitam itu dan pemeriksaan lanjut menemukan satu unit tangki simpanan yang berkapasiti 900 liter yang yang digunakan untuk mengisi minyak diesel.

"Kami menemukan 300 liter diesel bersubsidi yang diisi dalam tangki simpanan tersebut dan dipercayai pemandu kereta itu mendapat upah ratusan ringgit setiap hari untuk membeli diesel dari beberapa stesen minyak di sekitar daerah Seberang Perai Selatan(SPT) sebelum dihantar kepada sindiekt itu yang menjual kepada pihak ketiga," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya susulan serbuan itu, pihaknya menyita kereta Toyota Estima, motor pum, hos, telefon bimbit, wang tunai RM300 dan diesel yang kesemuanya bernilai RM41,345.

Jegan berkata dalam serbuan kedua, pihaknya menahan seorang lelaki berusia lingkungan 50-an yang sedang mengisi diesel ke dalam sebuah lori di sebuah stesen minyak di Jalan Baru, di sini pada 9.40 malam tadi.

Katanya pemeriksaan ke atas lori itu menemukan sebuah tangki minyak diesel berkapasiti 2,000 liter di bahagian belakang lori tersebut yang mengandungi 460 liter diesel dipercayai dibeli di beberapa stesen minyak di kawasan tersebut.

"Lelaki itu dipercayai daripada sindiket sama dengan lelaki pertama yang ditahan dan mereka dibayar upah untuk membeli diesel di stesen-stesen...sebelum dijual kepada pihak ketiga dengan harga lebih murah daripada harga pasaran," katanya.

Beliau berkata pihaknya merampas lori jenis Nissan, minyak diesel, motor pum, hos paip, telefon bimbit, tangki tambahan, dan invois belian diesel yang kesemuanya berjumlah RM37,089.

Menurutnya pihaknya giat mengesan rangkaian sindiker itu dan kes disiasat menurut Akta Kawalan Bekalan 1961.

-- BERNAMA