BATU PAHAT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang mengenal pasti sinergi dalam memastikan Inisiatif Rahmah yang diwujudkan terutamanya Menu Rahmah mampu bertahan lama dan bukannya untuk tempoh tertentu.

Menterinya Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata bagi melaksanakannya, pihak KPDN memerlukan sinergi atau kolaborasi daripada pelbagai pihak bagi menyantuni golongan yang memerlukan.

Beliau berkata ia termasuk memperluas kerjasama dengan pembekal bahan mentah dan pengusaha kedai makan, restoran serta beberapa pihak yang lain.

"Kita memerlukan satu sinergi sebab KPDN tidak boleh bekerja sendirian bagi menjayakannya (Menu Rahmah).

"Saya akan lakukan libat urus antara pihak industri makanan, pembekal bahan mentah dan kedai makan serta restoran.

"Kita juga akan libatkan syarikat makanan segera bagi memastikan menu ini bertahan dan mempunyai kelangsungan lebih lama, bukan bersifat sekali beri atau sehari dua sahaja," katanya kepada pemberita pada Khamis.

Ahli Parlimen Pulai itu berkata demikian selepas merasmikan penyediaan Menu Rahmah di Restoran Wachaa, Parit Raja, di sini yang turut dihadiri Ahli Parlimen Sri Gading Aminolhuda Hassan.

Menurut beliau kementeriannya juga terbuka untuk menerima pandangan daripada umum bagi menambah baik Inisiatif Rahmah.

Dalam majlis sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram itu turut menyampaikan bantuan Bakul Rahmah kepada 30 penerima daripada golongan B40 di sekitar Parit Raja.

-- BERNAMA