Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail berkata rampasan itu dilakukan selepas menerima maklumat mengenai sebuah lori disyaki membawa minyak masak bersubsidi dari luar Kelantan untuk diseludup ke negara jiran.
Beliau berkata pasukan operasi bertindak mengekori lori itu hingga Kampung Bukit Payong, Tanah Merah yang kemudian didapati cuba memindahkan minyak masak bersubsidi itu ke dalam dua kereta jenis Proton Waja.
"Semasa serbuan, kedua-dua pemandu Proton Waja itu melarikan diri ke dalam semak dan gagal dikesan manakala seorang lelaki tempatan berumur 33 tahun, dipercayai pemandu lori berkenaan ditahan.
"Pemeriksaan di dalam ketiga-tiga kenderaan itu menemukan sejumlah besar minyak masak bersubsidi di dalam kotak dan plastik bernilai RM21,335," katanya dalam kenyataan hari ini.
Azman berkata hasil soal siasat awal juga mendapati suspek menerima upah RM1,000 untuk setiap penghantaran minyak masak bersubsidi itu dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Beliau berkata keseluruhan rampasan berjumlah RM61,335 termasuk minyak masak bersubsidi, dua Proton Waja bernilai RM10,000 dan sebuah lori Isuzu yang dianggarkan RM30,000.
-- BERNAMA