Laporan Ketua Audit Negara Persekutuan 2013 yang dibentangkan hari ini mendapati pembinaan Kompleks Mahkamah Baru Kuantan telah melebihi RM19.56 juta daripada kos awal pembinaannya.

"Kompleks lewat disiapkan selama 560 hari serta kos pembinaan telah meningkat sejumlah RM19.56 juta disebabkan perancangan yang lemah dari aspek reka bentuk dan skop kerja," kata laporan tersebut.

Menurut laporan itu, projek pembinaan kompleks mahkamah tersebut dilaksanakan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua (PRE 2) dengan kos RM157.34 juta, dan telah dimulakan pada 8 Julai 2009 dengan tempoh kontrak selama 78 minggu.

Bagaimanapun berdasarkan laporan yang dibentang di Dewan Rakyat pada Isnin, projek itu telah disiapkan pada 17 Julai 2012, iaitu 158 minggu.

Antara teguran yang lain berhubung pembinaan Kompleks Mahkamah Kuantan termasuk, kecacatan yang ditemui dan masih belum diperbaiki serta penyenggaraan dalam tempoh pembinaan yang tidak praktikal.

Selain itu, laporan itu turut mendapati pembinaan kompleks yang dibina di Bandar Indera Mahkota itu tidak menepati spesifikasi lukisan dan juga kerja pembinaan yang tidak memuaskan.

Mahkamah Kuantan
Kompleks Mahkamah Baru Kuantan.

Bagaimanapun Laporan Ketua Audit Negara 2013 mendapati bahawa pembinaan mahkamah tersebut telah mencapai objektifnya yang menyediakan ruang fizikal yang lebih selesa untuk keperluan aktiviti kehakiman di Kuantan, Pahang.

Dalam pada itu, pihak Audit telah mengesyorkan supaya Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) mempertimbangkan beberapa perkara termasuk memastikan setiap projek pembinaan yang dilaksanakan dirancang dengan teliti.

Selain itu, JKR disarankan membuat pemeriksaan dan memastikan kontraktor membaiki kerosakan atau kecacatan yang ditemui dalam tempoh yang munasabah sebelum Perakuan Siap Membaiki Kecacatan dikeluarkan.

JKR juga disyorkan supaya memantau rapi serta menyelia kemajuan kerja kontraktor mengikut spesifikasi, kesesuaian dan juga kualiti.

"Mahkamah dan JKR hendaklah memastikan kontraktor penyenggaran yang akan dilantik bagi menjalankan kerja-kerja penyenggaraan dibuat mengikut jadual yang telah ditetapkan bagi menjamin peralatan/komponen yang dibina dapat berfungsi dengan baik secara berterusan," jelas laporan tersebut lagi.

Pihak Audit turut meminta agar mahkamah mengambil tindakan segera untuk memastikan semua aset didaftarkan dengan tepat dan kemas kini selaras dengan Pekeliling Perbendaharaan Bil.5 tahun 2007.