KUALA LUMPUR: Warga kerja Koperasi Sahabat Amanah Ikhtikar Malaysia Berhad (Koop Sahabat) menyatakan komitmen untuk bebas rasuah.

Komitmen tersebut dinyatakan dengan melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang antara lain memberi penekanan kepada ikrar dan janji untuk menjauhi dan membebaskan diri dalam sebarang perbuatan yang menjurus terhadap rasuah diketuai oleh barisan kepimpinan tertinggi dan warga kerja Koop Sahabat.

Menurut Pengerusi Koop Sahabat, Mohd Najib Mohd Noor, usaha ini merupakan inisiatif bagi memantapkan sistem perundangan dan struktur governan bagi memperkasakan koperasi sebagai pemangkin kepada pertumbuhan sosioekonomi yang inklusif.

“Koop Sahabat ingin melahirkan persekitaran perniagaan yang bersih daripada unsur-unsur rasuah dan masalah integriti bagi pencapaian yang cemerlang dan kompetitif serta melahirkan warga kerja yang berkualiti tinggi dan prodaktif.

“Usaha ini juga merupakan inisiatif yang digerakan oleh Koop Sahabat bagi menyahut saranan Kementerian Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), serta Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dalam menyeru setiap koperasi di Malaysia mengangkat ikrar integriti bagi mengukuhkan integriti anggota lembaga, pengurusan dan warga kerja sebagai pencetus amalan tadbir urus koperasi yang mantap,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Lafaz IBR oleh warga kerja Koop Sahabat disaksikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan negeri Selangor.

Ia diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Koop Sahabat, Mazri Mahmood dan disaksikan oleh Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Negeri Selangor, Ridzuan Abd Malik.

Lafaz ikrar integriti ini juga disertai oleh warga kerja Koop Sahabat di 25 buah cawangan Sahabat Ar Rahnu seluruh Malaysia serta kumpulan anak syarikatnya.

Jelasnya lagi, Koop Sahabat komited untuk mengekalkan prestasinya sebagai koperasi terbaik Malaysia, setelah diiktiraf sebagai koperasi ke-5 terbaik Malaysia oleh SKM pada tahun 2021.

Pada majlis sama, warga kerja Koop Sahabat turut diberi pendedahan berkaitan jenayah rasuah menerusi syarahan integriti bertajuk “Bina Integriti, Jauhi Rasuah“ yang disampaikan oleh pihak SPRM.

Untuk rekod, Koop Sahabat adalah sebuah koperasi perkhidmatan yang ditubuhkan pada 30 Ogos 2012 di bawah Akta Koperasi 1993 dengan keanggotaan kini melebihi 240,000 anggota seluruh Malaysia yang terdiri daripada usahawan wanita B40.