Dua editor kanan The Star telah digantung tugas berikutan siasatan terhadap muka hadapan akhbar itu pada 27 Mei.

Menurut laporan The Star Online, dua editor itu ialah ketua pengarang Datuk Leanne Goh Lee Yen dan editor eksekutif Dorairaj Nadason.

Ia menyatakan kedua-dua mereka akan berhenti menjalankan tugas masing-masing sehingga notis seterusnya.

"Mereka telah digantung dari tugas dan siasatan terhadap perkara itu akan dijalankan tidak lama lagi. Pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif Star Media Group Datuk Seri Wong Chun Wai akan menyelia operasi bahagian editorial dalam tempoh berkenaan," kata laporan itu malam ini.

Muka hadapan The Star 27 Mei memaparkan foto dan keterangan gambar umat Islam sedang mengerjakan solat taraweh pada hari pertama Ramadan di bawah tajuk terang "Malaysian Terrorist Leader".

Ini mencetuskasn kritikan daripada pelbagai pihak, terutama badan bukan kerajaan (NGO) Islam, yang menyifatkan tajuk berita dan keterangan gambar itu sebagai tidak sensitif terhadap perasaan masyarakat Islam.

Semalam, Kementerian Dalam Negeri memanggil empat editor The Star untuk menjelaskan tajuk, foto dan keterangan gambar yang seolah-olah menunjukkan umat Islam ada kaitan dengan terrorisme.

The Star kemudian diberikan masa tujuh hari untuk menjawab surat mengapa tindakan tidak boleh diambil terhadap akhbar tabloid itu di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, termasuk menggantung permit penerbitannya.

-- BERNAMA