Seorang kontraktor ditemui maut selepas terjatuh di atas permukaan tangki ketika sedang membuat pemeriksaan pada ketinggian 20 meter di Jalan Nibong 5, Tanjung Langsat, di sini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Timbalan Penguasa Bomba Ibrahim Omar berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9.11 dan menggerakkan sembilan anggota bersama jentera dan EMRS ke lokasi.

Menurut beliau, setiba di tempat kejadian, pasukan keselamatan mendapati mangsa berada di atas tangki dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Mangsa, Adnan Mohamad, 41 telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya kepada Astro AWANI.

Jenazah Adnan Mohamad disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. - Gambar Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia

Ibrahim berkata, jenazah mangsa diikat pada bucket streacher dan dibawa turun dengan forklift.

Katanya, mangsa merupakan kontraktor yang membuat pemeriksaan di tangki bahan kimia jenis Sodium Methylete sejak malam tadi.

Pada pagi Isnin, rakan Allahyarham yang turut melakukan pemeriksaan mendapati mangsa masih berada di atas.

Jenazah Allahyarham Adnan yang dibawa turun oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.