Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said menyifatkan konsep 'bermadu dalam politik' hanya akan merugikan rakyat.

Menurut beliau, konsep 'bermadu dalam politik' itu membabitkan tindakan segelintir masyarakat yang mengundi Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Anggota Parlimen dari wakil pembangkang tetapi tetap mengadu masalah tempatan yang dihadapi kepada pemimpin atau wakil Barisan Nasional (BN).

"Dalam politik tidak boleh bermadu. Calon pilihan menjadi Anggota Parlimen dan ADUN adalah wakil pembangkang tapi bila (babitkan) isu tempatan, (rakyat) bawa kepada kepimpinan BN...tidak bolehlah begitu.

"Kita kena konsisten, bila wakil pembangkang bercakap (di Parlimen), tak banyak cakap isu tempatan tetapi isu nasional walaupun mereka sebenarnya mewakili suara tempatan," kata beliau kepada pemberita di Felda Air Tawar 1, dekat sini pada Jumaat.

Terdahulu, Azalina menyampaikan bantuan keperluan asas kepada kira-kira 30 ibu tunggal, peneroka wanita dan generasi kedua Felda di Felda Air Tawar 1.

Mengulas percanggahan pendapat antara PKR dan DAP dalam isu persempadanan semula sehingga DAP mendesak kerajaan Selangor pimpinan PKR mengadakan pilihan raya lebih awal, Azalina berkata sikap pembangkang yang sering bertelagah sesama sendiri juga akan hanya merugikan rakyat.

"Parti pembangkang (PKR dan DAP) selalu bertelagah berkenaan isu-isu politik yang bagi saya sepatutnya mereka dah berbincang dalam semua perkara.

"Jadi mungkin ini cara sebenarnya parti pembangkang. Mereka boleh panggil diri mereka pembangkang sehingga apabila mereka dengan sahabat-sahabat politik pun mereka membangkang, itu mungkin budaya parti pembangkang," kata Ahli Parlimen Pengerang itu.

Menurut Azalina, jika dibandingkan wakil BN lebih banyak membahaskan isu-isu tempatan berkaitan dengan kawasan yang mereka wakili berbanding wakil pembangkang yang lebih berminat dengan isu nasional.

Justeru, rakyat perlu bijak memilih wakil rakyat yang bukan sekadar 'pandai bercakap' tetapi menjalankan tanggungjawab mereka terutamanya yang boleh meletakkan keutamaan kepada rakyat dan mempunyai pengalaman membantu rakyat. - BERNAMA