Umat Islam di seluruh negara diseru menunaikan solat hajat pada Jumaat ini bagi memohon perlindungan dan keselamatan berhubung ketegangan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya turut mendoakan agar dikurniakan keselamatan dan kesejahteraan serta perlindungan kepada 11 rakyat Malaysia di Korea Utara.

"Saya meminta semua masjid dan surau di seluruh negara mengadakan solat hajat selepas solat Jumaat bermula 10 Mac ini dan berterusan sehingga kemelut ini selesai," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Jamil Khir turut mengharapkan agar konflik itu dapat diselesaikan dengan baik dan rakyat Malaysia di Korea Utara dapat kembali ke tanah air dengan selamat.

"Semoga usaha murni ini diberkati dan dirahmati Ilahi," katanya.

-- BERNAMA