Mercu tanda ikonik Pulau Pinang iaitu Menara Komtar akan diterangi limpahan cahaya lampu dengan warna-warna simbolik bagi menggambarkan situasi semasa COVID-19.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata lampu itu akan dipasang setiap hari selama sebulan dari 8 malam hingga 10 malam sebagai tanda solidariti dengan wilayah Osaka di Jepun dalam perjuangan menentang COVID-19.

"Sama seperti Menara Tsutenkaku dan Menara Matahari di Osaka, inisiatif itu kini dilakukan kerajaan negeri Pulau Pinang bagi menunjukkan solidariti terhadap perjuangan menentang COVID-19 bersama kerajaan dan penduduk Osaka sebagai kaedah komunikasi risiko dengan orang awam dan merupakan sebahagian daripada respons COVID-19 kita," katanya selepas majlis menyalakan lampu itu di sini pada Jumaat.

Beliau berkata ini adalah satu bentuk kaedah komunikasi awam bagi mendidik komuniti terutama dalam usaha ke arah mencapai pemulihan dan kembali kepada keadaan normal di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan.

"Pulau Pinang akan mematuhi kesemua piawaian ini dan menyalakan lampu hijau, kuning atau merah mengikut piawaian Kementerian Kesihatan bagi menunjukkan kes-kes COVID-19 kita yang disahkan dan dikemas kini," katanya.

Turut hadir Konsul Jeneral Jepun Shinichiro Kanoya, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan negeri Yeoh Soon Hin serta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang Datuk Yew Tung Seang.

-- BERNAMA