Kompleks Rumah Kelahiran Mahathir Mohamad di Lorong Kilang Ais, Jalan Pegawai, Alor Setar dibuka semula kepada pengunjung bermula hari ini selepas ditutup bagi projek menambah baik kompleks terbabit pada 2017.

Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi, pembukaan semula tapak bersejarah terbabit adalah sebagai salah satu usaha kementeriannya dalam membantu kerajaan negeri Kedah bagi mempromosikan sektor pelancongan warisan menjelang Tahun Melawat Malaysia pada 2020.

Jelasnya, kewujudan kompleks itu juga membolehkan pengunjung untuk mengenali dengan lebih mendalam tentang kehidupan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tambah Mohamaddin, penambaikan dari segi teknologi terkini seperti hologram dan animasi tiga dimensi juga mampu menjadi daya tarikan terbaru buat golongan remaja dan kanak kanak.



"Kita pun mohon kerjasama antara Tun Mahathir dan kerajaan negeri dan kita (MOTAC) akan bantu nanti supaya banyak lagi pelancong yang akan datang.

“Tempat ini kita akan buat sebagai satu tarikan pelancong di negeri Kedah. Kita pun dah naik taraf teknologi di sini seperti animasi hologram,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan pembukaan semula kompleks rumah kelahiran Mahathir Mohamad, di Alor Setar pada Sabtu.



Dalam perkembangan sama, Mohamaddin menegaskan kementeriannya akan sentiasa memastikan khazanah warisan negara sentiasa dipelihara dan dipulihara.

Jelasnya, ia telahpun dibuktikan dengan proses baik pulih kompleks tersebut selama tiga kali termasuk kali terakhir pada Ogos 2017 hingga Oktober 2018 yang menelan kos berjumlah RM1.8 juta.

Tambahnya, beliau turut mengharapkan jumlah kehadiran pengunjung yang melawat Kompleks Rumah Kelahiran Tun Mahathir itu meningkat terutama menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020, berbanding yang dicatatkan dari tahun 2013 hingga 2017 iaitu sekitar 396,233 pengunjung.