PENGUMUMAN kerajaan pada Mei lepas yang bersetuju melaksanakan penyasaran subsidi ke atas bahan api diesel mencipta pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat Malaysia terutama di laman media sosial.


Ringkasan AI
  • Pengumuman kerajaan pada Mei lepas yang bersetuju melaksanakan penyasaran subsidi ke atas bahan api diesel mencipta pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat Malaysia terutama di laman media sosial.
  • Langkah yang dianggap tidak popular itu ternyata memberi tamparan hebat kepada kerajaan kerana rata-rata berpendapat ia sebagai satu keputusan yang tidak wajar di saat peningkatan kos sara hidup yang berlaku ketika ini.


Langkah yang dianggap tidak popular itu ternyata memberi tamparan hebat kepada kerajaan kerana rata-rata berpendapat ia sebagai satu keputusan yang tidak wajar di saat peningkatan kos sara hidup yang berlaku ketika ini.

Tidak kurang juga suara-suara netizen terus lantang mempersoal pendirian kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan segala keputusan dicapai yang dianggap hanya membebankan rakyat.

Semestinya, kalau diperhatikan daripada aspek politik, ia ibarat membuka ruang bagi pihak pembangkang dan golongan yang tidak pro kepada kerajaan untuk mencipta naratif yang boleh membina defisit keyakinan kepada pemerintahan Anwar.

Mungkin ramai yang tidak sedar dan kurang peka mengenai apakah rasionalnya keputusan itu dibuat dan bagaimana langkah yang mampu menjimatkan wang kerajaan dijangka sekitar RM4 bilion setahun.

Tanpa perlu menelusuri sejarah lalu, umum sebenarnya sangat cakna mengenai ketirisan yang berlaku dalam pemberian subsidi diesel sebelum ini lebih-lebih terlalu kerap media melaporkan kes penyeludupan bahan api baik diesel mahupun RON95 sebelum ini.

Penyeludupan yang berlaku bukan setakat dalam negara, malah selama ini subsidi yang sepatutnya dikhususkan kepada rakyat Malaysia turut sama ‘dinikmati’ warga negara jiran kita malah lebih memeranjatkan kes penyeludupan turut berlaku melalui jalan laut.

Jika ia tidak disasarkan, sebaiknya, 3.8 juta warga asing yang menetap di negara kita juga terus-menerus turut menikmati subsidi ini jadi apakah langkah kerajaan ini masih dianggap tidak wajar?

Juga golongan maha kaya atau T20 yang ternyata berkemampuan akan terus menikmati subsidi ini dan ternyata penggunaan mereka jauh lebih besar dengan jumlah kenderaan dan perusahaan yang dimiliki jika dibandingkan dengan golongan marhaen B40 dan M40.

Lebih mengejutkan, apabila penguasaha bas dan pelancongan Singapura mengumumkan kenaikan harga perkhidmatan yang ditawarkan susulan penyasaran subsidi ini.

Bukan membuat kesimpulan, namun ini adalah ‘bukti’ awal membuktikan berlaku ketirisan dalam pemberian subsidi sebelum ini di mana orang luar turut sama ‘menikmati’ kemudahan yang sememangnya dikhususkan untuk orang Malaysia.

Terbaharu juga, susulan penyasaran subsidi diesel dikuatkuasakan, penyeludup kini menjalankan modus operandi terbaharu dengan memfokuskan menyeludup RON95 pula.

Penyeludupan yang berlaku bukan setakat dalam negara, malah selama ini subsidi yang sepatutnya dikhususkan kepada rakyat Malaysia turut sama ‘dinikmati’ warga negara jiran.

Perkara ini nyata berlaku dan disahkan sendiri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali pada awal Jun lalu.

Justeru, KPDN mengeluarkan Arahan Pengawal Bekalan kepada pemilik stesen minyak untuk memantau dan melaporkan kenderaan yang dikesan melakukan pembelian berulang.

Sekiranya tiada penyasaran dilakukan, ternyata kita akan terus berkongsi faedah dan kemudahan ini dengan sesiapa sahaja yang berhenti mengisi minyak di mana-mana stesen minyak di negara ini.

Jika disoroti perkara ini sebaiknya, langkah penyasaran subsidi diesel ini telah lama diusahakan bukan setakat oleh Anwar, malah beberapa Perdana Menteri sebelum ini pernah memiliki agenda sama, namun mungkin tidak ada tekad politik untuk merealisasikannya menyebabkan ia sekadar terhenti sebagai satu visi dan misi sahaja.

Untuk itu perlu difahami, sekiranya penyasaran subsidi tidak dilaksana, maka peningkatan kos yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan akan terus meningkat  dalam mendepani kenaikan luar jangka harga komoditi dunia.


Bukan tiada subsidi, cuma lebih bersasar

Sebagai usaha menjayakan agenda ini, kerajaan sebenarnya tidak mengetepikan terus nasib golongan yang masih memerlukan subsidi diesel.

Menerusi pengumuman Anwar pada 21 Mei lalu juga, beliau ada menyatakan bagi membendung kenaikan mendadak harga barang dan perkhidmatan, kerajaan akan terus menyediakan subsidi diesel kepada peniaga yang menggunakan kenderaan komersial bermotor diesel.

Ia melibatkan 10 jenis kenderaan pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Maknanya di sini, pengusaha bas, teksi, nelayan akan terus dipelihara dengan subsidi dan kerajaan juga akan terus memberi subsidi diesel kepada yang layak termasuk golongan petani kecil dan pesawah.

Malah bagi golongan B40 dan M40 yang menggunakan diesel dalam penggunaan kecil bagi aktiviti pertanian, perlombongan, penternakan dan nelayan akan terus dibantu.

Anwar menerusi Perutusan Negara Perdana Menteri itu juga dengan jelas menekankan
sekiranya ada rakyat kebanyakan terbeban, mereka boleh merujuk kepada Kementerian Pengangkutan (MOH) dan kementerian berkaitan untuk menyelesaikan isu tersebut.


Rebat elektrik kepada miskin tegar diteruskan

Menyentuh mengenai subsidi elektrik pula, menerusi pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober tahun lalu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju meneruskan pemberian rebat bil elektrik sehingga RM40 sebulan kepada isi rumah miskin tegar dengan peruntukan RM55 juta.

Ini kerana menerusi pembentangan tersebut, beliau dengan jelas menyatakan bahawa pemberian subsidi elektrik secara pukal sangat membebankan dan lebih menguntungkan golongan kaya.

Perkara ini jelas dapat dilihat di mana golongan yang maha kaya yang memiliki rumah agam besar yang pastinya menggunakan lebih banyak perkhidmatan itu jika dibandingkan dengan golongan B40 yang mana pengunaannya jauh lebih rendah.

Pada tahun 2022, trend menunjukkan, 10 peratus pelanggan dengan penggunaan elektrik tertinggi menikmati 50 peratus subsidi, sedangkan 50 peratus pelanggan dengan penggunaan elektrik terendah hanya menikmati 10 peratus subsidi yang diberikan.

 beliau dengan jelas menyatakan bahawa pemberian subsidi elektrik secara pukal sangat membebankan dan lebih menguntungkan golongan kaya.


Untuk itu, satu tekad perlu digembleng sepenuhnya dan menerusi Perutusan Negara pada Mei juga, Anwar mengumumkan bahawa kerajaan telah menjana RM4 bilion hasil penyasaran subsidi mengikut penggunaan elektrik.

Ia selepas subsidi itu ditambah baik dengan 85 peratus rakyat tidak terjejas dan kekal menikmati subsidi manakala baki 15 peratus yang menggunakan elektrik melebihi 600 kilowat-jam tidak lagi layak menerimanya.

Ini masih membuktikan kerajaan masih lagi prihatin kepada golongan yang tidak berkemampuan dalam memastikan semua menerima limpahan dan faedah yang diberikan kerajaan bersesuaian dengan keperluan masing-masing.

Bayangkan dengan segala bentuk pengenalan subsidi bersasar yang diumumkan ini, pastinya wang yang dapat dijimatkan akan lebih berpaksi kepada kebutuhan dan keutamaan rakyat menerusi dasar-dasar yang lebih menyebelahi rakyat yang akan dirangka dan diumumkan kelak.

Dengan jelas diumumkan sebelum ini, sebahagian penjimatan ini nyata menguntungkan rakyat terutama bagi golongan yang memerlukan terutama dalam aspek pemberian bantuan yang terus mampu ditambah baik.

Antaranya Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dapat ditambah baik dengan peningkatan peruntukan kepada RM700 juta daripada RM130 juta tahun lalu.

Selain itu, peruntukan bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) juga berjaya ditingkatkan daripada RM8 bilion pada 2023 kepada RM10 bilion tahun ini dan pastinya ia mampu memanfaatkan sembilan juta penerima atau 60 peratus penduduk dewasa Malaysia.

Untuk itu, adalah wajar untuk memahami situasi dan keadaan sebenar sebelum membuat konklusi serta terus menerus mendendangkan kerajaan tidak adil, tidak memahami aspirasi rakyat dan menekan rakyat.



* Syafik Shukri Jalil merupakan wartawan penyiaran di Astro AWANI dan lulusan Sarjana dari School of Art and Media, University of Brighton, United Kingdom.

** Penulisan artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pandangan Astro AWANI.