MATA Kering (Dry eyes) merujuk kepada penyakit di mana terdapat gangguan pada lapisan air mata yang menyelaputi permukaan mata, atau lebih dikenali sebagai Tear Film. Tear Film merupakan suatu lapisan cecair yang bersifat dinamik di mana penghasilan dan pengaliran keluar air mata, penyejatan air mata dan kelipan mata semua memainkan peranan dalam memastikan permukaan mata kekal sihat.

Tear Film terdiri daripada tiga lapisan: lapisan lipid di bahagian luar, lapisan akueus di bahagian tengah dan lapisan mucin di bahagian dalam. Lapisan lipid dihasilkan daripada meibom, yang dirembeskan oleh kelenjar meibomian. Kelenjar ini terletak di kelopak mata atas dan bawah. Lapisan lipid berfungsi menstabilkan Tear Film dengan menghalang penyejatan. Lapisan akueus dihasilkan oleh kelenjar lakrimal manakala lapisan mucin dihasilkan oleh sel-sel goblet di bahagian konjunktiva.

Sindrom Mata Kering boleh dibahagikan kepada mata kering yang kekurangan air (aqueus-deficient dry eyes) di mana komponen akueus dalam tear film terjejas, ataupun evaporative dry eyes. Lebih 85% daripada masalah dry eyes adalah dikategorikan sebagai evaporative dry eyes.

Bagaimana sindrom Dry Eyes berkait dengan  Meibomian Gland Dysfunction (MGD)?

MGD adalah punca utama evaporative dry eyes. Antara ciri-ciri penyakit MGD adalah stuktur kelenjar meibomian yang tidak normal, kelenjar yang tersumbat, dan perubahan pada rembesan kelenjar dari cecair yang berminyak kepada rembesan yang pekat. Faktor-faktor yang menjerumus kearah kejadian MGD adalah keradangan, jangkitan bakteria pada kelenjar dan masalah pengaliran rembesan kelenjar.

Pengurangan dalam rembesan meibum dan/atau perubahan kualitatif dalam meibum mengganggu lagi lapisan lipid pada tear film dan seterusnya meningkatkan kadar penyejatan. Penyejatan yang berlebihan ini mengakibatkan penipisan keseluruhan tear film, yang boleh menyebabkan hiperosmolariti, keradangan dan apoptosis sel (termasuk kehilangan sel goblet yang merembeskan lapisan mucin). Oleh itu, peningkatan penyejatan dan ketidakstabilan tear film adalah mekanisme asas bagi penyakit evaporative dry eyes.

Adakah ramai dalam kalangan masyarakat kita yang mengalami penyakit ini?

Terdapat pelbagai kajian yang telah dijalankan untuk mengenal pasti bilangan pesakit Dry Eyes & MGD. Dianggarkan sekitar 12-25% daripada populasi Malaysia menghidapi penyakit ini. Walau bagaimanapun, penyakit ini mungkin kurang dikesan dan tidak dirawat kerana kurangnya kesedaran. Hakikatnya, angka sebenar mungkin lebih tinggi.

Gejala

Gejala yang dihadapi termasuk kekeringan, rasa pedih atau rasa kurang selesa. Pesakit juga mungkin mengalami mata berair. Ini adalah kerana rangsangan deria tindak balas yang menyebabkan kelenjar lakrimal menghasilkan lebih banyak komponen akueus dalam tear film apabila mata berasa kering. Penghidap MGD juga selalu mengalami mata yang kerap berasa gatal. Pesakit yang mengalami gejala yang lebih kronik akan mengadu yang mata mereka sensitif kepada cahaya, cepat letih dan penglihatan menjadi kabur.

Saranan mengalami gejala-gejala ini

Jika anda menghidapi gejala-gejala ini, seeloknya dapatkan temu janji untuk dibuat penilaian secara lengkap oleh pakar oftalmologi.

Ada beberapa perkara yang boleh dicuba untuk mengurangkan gejala sementara menunggu temu janji. Antaranya adalah melakukan tuaman mata atau menggunakan eye mask bersuhu panas, membersihkan kelopak mata dengan lid wipes dan menggunakan ubat titis air mata palsu. Penggunaan pelembap udara dan mengelakkan pendedahan udara yang bertiup terus ke mata seperti penyaman udara mungkin membantu.

Rawatan

Rawatan boleh dimulakan dengan penggunaan air mata palsu. Ubat titik mata tanpa pengawet adalah disyorkan kerana lebih mesra kepada permukaan mata. Bakteria juga boleh mencetuskan proses proinflamasi. Antibiotik seperti doxycycline dan azithromycin  boleh digunakan dalam merawat MGD. Ubat yang melawan keradangan seperti ubat titis yang mengandungi steroid dan ubat immunomodulator seperti cyclosporin juga boleh digunakan untuk memecahkan kitaran keradangan.

Rawatan lain termasuk rawatan ekspresi manual pada kelenjar meibomian. Microblepharoexfoliation – sejenis rawatan untuk membuang biofilm dan serpihan bakteria dari kelopak mata adalah salah satu lagi rawatan yang boleh diberikan. Thermal pulsation dapat melembutkan dan mengekspresikan meibum dengan gabungan haba dan tekanan ke kelopak mata.

Kesimpulannya, rawatan untuk Dry Eyes dan MGD haruslah spesifik kepada setiap individu yang menghadapinya dan rawatan juga harus dioptimumkan supaya pesakit dapat bebas dari gejala-gejala dan dapat menjalankan aktiviti harian tanpa gangguan.



* Penulis ialah pakar perunding oftalmologi di UiTM Private Specialist Centre (UPSC).

** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.