PERMULAAN tahun persekolahan baru adalah momentum penting bagi guru untuk melakukan sekurang-kurangnya 3 perkara: Penilaian, Rumusan dan Strategi. Proses pembelajaran di sekolah perlu ditinjau semula, agar tetap relevan dengan keadaan semasa, tetapi tidak menghakis prinsip utama pendidikan. Pada zaman digital, pengajaran dan pembelajaran di sekolah tidak lagi terbatas pada pedagogi, tetapi juga Heutagogi, Peeragogi dan Cybergogi.

Umumnya, di sekolah malahan di institusi pendidikan tinggi, proses pembelajaran meletakkan guru dan pensyarah sebagai sumber utama pembelajaran. Guru menjadi titik pusat pembelajaran, dan pelajar pula menjadi pendengar, bersifat pasif dan menjadi objek dalam pembelajaran. Pendekatan pembelajaran ini telah sekian lama diterapkan dan masih berterusan sehingga kini walaupun terdapat perjuangan untuk mengubah kepada pendekatan berpusatkan pelajar. Pendekatan ini walau bagaimanapun sudah tidak lagi relevan dan seiring dengan era digital.

Terdapat tiga pendekatan yang boleh digunakan oleh guru dan pensyarah unttuk mencambahkan  minat belajar dalam diri pelajar, meningkatkan kemandirian pelajar dan untuk mencapai matlamat pembelajaran sepanjang hayat. Pendekatan pengajaran yang pertama dikenali sebagai Heutagogi. Heutagogi, atau pembelajaran yang ditentukan sendiri, adalah strategi pengajaran berpusatkan pelajar yang menekankan pengembangan autonomi, keupayaan, dan kemampuan pelajar. Dalam zaman yang serba canggih, pelajar dan guru berhadapan dengan maklumat yang banyak dan kepelbagaian maklumat. Justeru amat penting bagi pelajar untuk memiliki kemahiran pembelajaran arahan kendiri (self-directed learning skills). Pembelajaran arahan kendiri sangat penting dalam dunia dan tenaga kerja masa kini. Individu perlu mengetahui bagaimana mengurus pembelajaran mereka - untuk merancang, mengembangkan, menyesuaikan dan mengubah maklumat untuk disesuaikan selari dengan masyarakat digital, interaktif dan global. Tanpa kemampuan arahan kendiri, pelajar akan mudah terganggu dan terpengaruh dengan segala maklumat yang terdapat dalam aplikasi digital. Pelajar perlu dilatih bagaimana untuk menumpukan perhatian pada satu perkara secara mendalam. Kegagalan untuk menumpukan perhatian menyebabkan pelajar tidak dapat memahami masalah secara menyeluruh.

Strategi pendidikan kedua, iaitu Peeragogi. Peeragogi adalah strategi pendidikan yang membiasakan pelajar dengan latihan untuk memberi tumpuan kepada pembelajaran bersama dengan rakan sebaya. Kewujudan peranti digital menyebabkan pelajar mengasingkan diri dan menjadi lebih individualistik. Natijahnya, mereka tidak mempunyai kemahiran interaksi sosial dan tidak mampu untuk bekerja dalam satu kumpulan. Sedangkan, kemahiran berinteraksi dan bekerja dalam pasukan amat diperlukan dalam dunia pekerjaan. Kompetensi kolaborasi ini perlu ditanamkan melalui strategi peeragogi. Pembelajaran rakan sebaya bertujuan untuk menyokong pelajar mengembangkan pengetahuan dan kemahiran mereka, meneroka potensi dan kekuatan mereka, mengenal pasti matlamat dan rancangan untuk penambahbaikan, serta menyesuaikan rancangan yang diperlukan untuk mencapai matlamat pembelajaran mereka.

Strategi ketiga ialah Cybergogi. Cybergogi adalah strategi pendidikan yang mendorong pelajar untuk terlibat dalam persekitaran pembelajaran dalam talian. Persekitaran dalam talian kini telah menjadi sebahagian dari kehidupan seharian pelajar. Suka atau tidak, pendidikan kini telah beralih dari bentuk fizikal ke bentuk maya. Guru dapat mewujudkan persekitaran dan iklim pembelajaran yang lebih luas tanpa dibatasi oleh halangan tradisional seperti bilik darjah, jadual dan kurikulum. Proses pendidikan seharusnya dapat menerokai kehidupan pelajar dengan lebih luas, dan menjadikan iklim penerokaan pengetahuan menarik dan relevan dengan keadaan semasa.

Ketiga-tiga strategi alternatif ini boleh digabungkan dan dikolaborasikan. Dengan itu, sekolah lebih dekat dengan pelajar dan kandungan pembelajaran menjadi lebih relevan dengan kehidupan pelajar dan pendidikan selari dengan zaman dan tetap relevan dengan kehidupan. Pendidik perlu bersedia untuk memainkan peranan bukan sahaja sebagai pengajar, tetapi juga sebagai fasilitator, pembimbing dan menjadi model peranan untuk melahirkan pelajar yang kreatif, berdaya saing dan memiliki kemampuan untuk menerapkan kemahiran dan kecekapan pada situasi baru, serta dapat bertahan dalam dunia yang kompleks dan sentiasa berubah.



* Dr Rezki Perdani Sawai ialah Pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan di Universiti Sains Islam Malaysia

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.