KUALA LUMPUR: Setahun telah berlalu setelah Kerajaan Perpaduan, Perdana Menteri Madani Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih tampuk kuasa.

Selaku ahli parti yang menyokong kepimpinan beliau sebagai Perdana Menteri, saya mempunyai harapan dan impian agar berlakunya suatu reformasi secara menyeluruh terhadap struktur semasa pembiayaan dan kemudahan sistem pendidikan kita yang selama ini menjadi asbab ramai generasi akan datang negara kita kehilangan peluang untuk menjadi versi terbaik diri mereka.

Tempoh singkat pemerintahan Perikatan Nasional; malahan 22 bulan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan, tidak sepenuhnya dijatuhkan oleh gerakan politik, akan tetapi sebaliknya adakah kerana kekurangan dorongan dan cita-cita untuk memacu reformasi yang diperlukan dalam menjadikan negara kembali beraspirasi.

Barangkali, inilah puncanya Transformasi Nasional 2050 (TN50) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) serta Program Transformasi Ekonomi (ETP) dijadikan sandaran oleh PM ke-6, Datuk Seri Najib Razak untuk menganjak paradigma negara supaya bertindak berpandukan pelan hala tuju yang diperlukan untuk kita melepaskan negara daripada belenggu pendapatan pertengahan atau pun middle income trap.

Walau bagaimanapun, saya telah disambut dengan berita seakan-akan dejavu apabila penerajui Kementerian Komunikasi Dan Digital (kini dipecah menjadi dua) yang mempersoalkan kualiti liputan rangkaian 5G yang dipacu kerajaan secara terbuka, seolah-olah beliau mahu memulakan perbalahan awam berkenaan isu ini.

Lupakan sebentar betapa tidak profesionalnya kenyataan beliau, apa yang lebih membimbangkan adalah liputan media yang melaporkan secara meluas kata-kata beliau telah melemahkan keyakinan pasaran terhadap pelaksanaan 5G di Malaysia; yang mana sejak dari mula telah pun keciciran di belakang berbanding rakan serantau ASEAN lain, sementelahan kita mempunyai tiga kerajaan berbeza sejak 5G mula-mula dikaji dan dilancarkan.

Semua orang tahu Parti UMNO sentiasa mementingkan pendidikan sepanjang hayat dan akses yang saksama untuk generasi akan datang. Saya secara peribadi melihat capaian internet yang pantas sebagai satu keperluan ke arah mencapai matlamat ini.

Saya memuji tiga kerajaan terdahulu di bawah tiga Perdana Menteri berbeza yang membolehkan pembangunan 5G kita tidak ditentukan oleh kuasa pasaran semata-mata (tidak seperti liputan 4G yang hambar dan tidak saksama pada harga yang tidak berdaya saing).

Pembangunan dan pelaksanaan 5G melalui Digital Nasional Berhad (DNB) membolehkan kerajaan melalui kementerian-kementerian berkaitan mengawal dan menyelia masa depan 5G kita.

Sebaliknya, kita berhadapan dengan seorang menteri; yang mungkin selesa di bangku pembangkang sebelum ini, sehingga inisiatif kerajaan sendiri pun dipersoalkannya.

Beliau barangkali tidak menyedari DNB memerlukan pembiayaan melalui dana awam dan institusi kewangan.

Oleh itu, sebarang reputasi negatif yang berpunca daripada perselisihan terbuka dengan seorang menteri tidak akan membantu DNB dalam usaha mengumpul modal yang diperlukan untuk membiayai misinya tanpa menggunakan wang rakyat.

Kendatipun begitu, berpandukan penasihat dan pegawai khas; Menteri ini telah menzahirkan persoalan demi persoalan sepanjang tahun 2023 yang belum habis pun tahun pertamanya.

Berikut adalah sedikit nasihat khidmat masyarakat daripada kami; kelompok yang mengambil berat tentang masa depan kita, “Sila dapatkan Kabinet yang lebih cekap”

Semoga 2024 menjadi tahun yang lebih baik bagi Malaysia dan rakyatnya.



* Dr Aswad Ithnain merupakan seorang doktor perubatan dan juga Naib Ketua Pemuda UMNO Johor.

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis berdasarkan bidang tugasnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.