DI MANA ubinya tumbuh,
Ia tumbuh di ulu kediri;
Laksamana mati di bunuh,
Ia dibunuh soldadu sendiri.


Begitulah serangkap pantun lama yang melambangkan akan matinya bahasa Melayu di tangan orang Melayu sendiri. Senario ini bukan sahaja di tanah air kita, Malaysia malahan sudah menular di negara Nusantara yang lain seperti Singapura dan Indonesia. Sungguh pun tidak ketara tetapi tetap berlaku.


Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan telah meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan manakala Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (1959) sebagai tunjang maruah dan keutuhan bahasa Melayu. Namun dalam erti kata sebenar, peralihan nilai dan amalan yang berlaku menyebabkan bahasa Melayu dikelar perlahan-lahan oleh penutur jatinya sendiri.

Tiada usaha yang bersungguh-sungguh oleh mana-mana pihak di Malaysia sama ada yang memegang autoriti mahupun tidak dalam mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menggariskan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa ekonomi dan bahasa negara. Namun langkahnya tempang tanpa sokongan padu daripada pihak-pihak yang memegang kuasa untuk memartabatkannya ke peringkat yang lebih global.

Kuasa politik yang ada di tangan pemimpin Melayu semenjak dahulu sehingga kini mahukan status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.

Namun tiada usaha yang bersungguh-sungguh untuk memartabatkannya sebagai bahasa ilmu, bahasa ekonomi dan bahasa negara. Tiada iltizam untuk menjadikan bahasa Melayu dituturkan pada peringkat dunia antarabangsa sebagai bahasa komersial dan bahasa diplomatik.

Sebagai sebuah negara yang bertamadun dan mempunyai berbilang-bilang kaum dan etnik, bahasa Melayu menjadi bahasa perpaduan. Malaysia memerlukan keutuhan nasionalisme sosial yang memerlukan satu bahasa yang mampu menyatupadukan kaum-kaum di Malaysia.

Namun apakah yang berlaku sebenarnya?

Kita dipecahkan dengan sistem pendidikan yang mengasingkan sekolah kebangsaan dengan aliran sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil bermula pada peringkat kanak-kanak lagi. Di manakah penyatuan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan itu sepatutnya dimulakan?

Pemimpin politik berbahas dan berucap di arena persidangan antarabangsa menggunakan bahasa Inggeris. Perjanjian atau kontrak perbankan ditulis dalam bahasa Inggeris. Kuliah dan tugasan di universiti tempatan yang bersifat kebangsaan juga masih menggunakan bahasa Inggeris.

Pengamal undang-undang masih berhujah dalam bahasa Inggeris di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Tayangan drama televisyen mencampuradukkan bahasa Melayu dengan Inggeris.

Komunikasi penyampai radio di konti radio aliran Melayu pula merancu bahasa Melayu dengan Inggeris pada tahap yang sangat melampau. Nama taman dan tempat awam menggila dengan penggunaan bahasa Inggeris.

Hal yang berlaku ini tiada pemantauan dan teguran daripada mana-mana pihak. Inilah yang diibaratkan bahasa Melayu dikelar pelahan-lahan oleh bangsanya sendiri dalam senyum dan tawa dalam sengih gelak bicara.

Satu kajian rambang pada tahun 2017 mendapati sebanyak 152 perkataan Inggeris diselitkan dalam pelbagai suku ayat dan suku kata dan ungkapan bahasa Melayu (Rais Yatim, 2021). Hal inilah yang menyebabkan permusnahan bahasa Melayu berlaku tanpa disedari.

Keazaman politik tampuk pemerintahan dalam menangani isu bahasa Melayu masih sama-samar. Kementerian Pendidikan Malaysia, Kerajaan Tempatan, DBP dan pihak-pihak yang berautoriti perlu bangkit mengatasi isu ini.

Setiap usaha yang dilaksanakan bagi mencenderungkan bahasa Melayu dalam persekitaran masyarakat perlu diuar-uarkan di seantero negara agar rakyat menerima maklumat dan maklum tentang segala usaha mendaulatkan bahasa kebangsaan.

Pendatang asing warga Bangladesh, Pakistan, Afrika dan dari negara-negara lain yang bukan daripada penutur jati bahasa Melayu sedikit sebanyak mempengaruhi akulturasi tamadun bangsa termasuk penggunaan bahasa pertuturan harian mereka.

Jika tidak dibimbangi dan dipandang serius berkemungkinan kelaran dan tikaman bahasa Melayu untuk mati akan berlaku dalam tempoh yang lebih awal. Jangan biarkan bahasa Melayu mati beragan.



* Azura Halid merupakan pejuang Bahasa Melayu yang kini berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan.

** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.