APABILA Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pulang daripada lawatan kerja rasmi ke China pada April lalu, beliau membawa berita gembira.

Berdasarkan laporan media terhadap lawatan tersebut, China dikatakan telah menjanjikan pelaburan sebanyak RM170 bilion ke Malaysia, jumlah tertinggi pernah terhasil daripada lawatan seorang ketua kerajaan ke negara kuasa besar dunia itu.

Berita itu sememangnya menggembirakan ketika negara masih bergelut dengan kesan kelembapan ekonomi pasca pandemik.

Ia memberikan harapan rangsangan ekonomi yang diperlukan Malaysia daripada China yang merupakan rakan dagang terbesar negara selama 14 tahun berturut-turut yang pada 2022 sahaja merekodkan nilai perdagangan mencecah AS$110.6 bilion dan nilai pelaburan berjumlah AS$12.5 bilion.

Syarat yang diberikan China juga nampak mudah, mereka hanya mahukan “sokongan dasar” daripada Putrajaya.

Mereka juga berjanji akan mengutamakan pengambilan pekerja rakyat Malaysia dalam pelaburan di Malaysia.

Kesemua ini memberikan suasana positif kepada Malaysia ketika itu. Tetapi itu kejadian pada Mac-April sebelum China mengeluarkan laporan pertumbuhan ekonomi terkini pada Julai.

Pertumbuhan China hanya 0.8 peratus, pengganguran lebih 20 peratus.

China melaporkan pertumbuhan ekonomi hanya 0.8 peratus pada suku kedua 2023 berbanding suku pertama tahun ini berbanding 2.2 peratus pada suku pertama.

Sekadar perbandingan pada 2022, pertumbuhan suku kedua tahun lepas adalah 6.3 peratus naik daripada 4.5 peratus pada suku pertama, walaupun ketika itu China menutup sepenuhnya Shanghai bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Kadar pengangguran China juga kini mencecah lebih 20 peratusa untuk anak muda berusia 16 hingga 24 tahun mengikut data rasmi kerajaan, walaupun kajian ahli ekonomi negara itu meletakkan kadar pengangguran boleh mencecah 46.5 peratus dengan mengambil kira semua kumpulan umur rakyat negara itu.

Kadar ini dijangka akan terus meningkat dengan 11.58 juta graduan baharu akan memasuki pasaran kerja tahun ini.

“Jelas sekali ekonomi China sedang merosot,” kata Eswar Prasad, profesor ekonomi di Cornell University yang juga bekas ketua unit untuk China di Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Tambahnya, situasi semasa di China sekarang adalah petanda jelas negara itu memerlukan perubahan dasar bagi mengembalikan keyakinan kepada sektor swasta di China dan merangsang pertumbuhan pantas.

Situasi yang melanda China sekarang, menurut pandangan pakar ekonomi adalah kesan langsung tindakan keras kerajaan Pusat terhadap sektor teknologi dan hartanah negara itu, dua sektor terbesar yang menyumbang kepada pertumbuhan dan jumlah pekerja terbanyak.

Sektor teknologi dan hartanah terjejas teruk

Pada 2020, kerajaan Pusat China di bawah teraju Presiden Xi Jinping mula mensasarkan dua sektor terbesar di negara itu dalam siri tindakan pelaksanaan dasar “Pemikiran Xi Jinping tentang Sosialisme dengan Karakteristik China untuk Era Baharu.”

Kempen ini direka untuk “mencapai perpaduan dalam pemikiran, hasrat dan tindakan, memajukan semangat pengasas hebat parti untuk membina negara sosialis moden seterusnya mengembalikan kegemilangan negara China.”

Dalam sektor ekonomi, ia mensasarkan dua sektor terbesar negara itu; teknologi dan hartanah yang memberi kesan langsung kepada ekonomi negara itu.

Pada November 2020, gergasi teknologi kewangan China, Ant Group, salah sebuah anak syarikat Alibaba menjadi “mangsa” pertama apabila dipaksa membatalkan IPO (saham terbitan awam) bernilai AS$37 bilion pada saat-saat akhir susulan ucapan Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Jack Ma yang mengkritik pihak berkuasa kewangan dan Bank Pusat China.

Pada 2021, China mendenda Alibaba sebanyak AS$2.8 bilion, denda tertinggi pernah dikenakan ke atas mana-mana syarikat di negara itu.

Jack Ma menubuhkan Alibaba 25 tahun lalu dan syarikat itu berkembang menjadi antara pemain teknologi dan perdagangan dalam talian terkemuka dunia.

Hartawan itu juga adalah pengkritik hebat kerajaan Pusat sehingga memaksa beliau “melarikan” diri daripada pandangan awam selepas kerajaan China mula menyerang syarikatnya.

Susulan pembatalan paksaan itu, Alibaba memutuskan untuk memecahkan struktur syarikat kepada enam syarikat berbeza. 

Setiap satu daripada syarikat itu mempunyai CEO dan Lembaga Pengarah masing-masing dengan peluang melaksanakan IPO masing-masing.

Salah satu syarikat itu, Cloud Intelligence Group kemudiannya mengumumkan akan membuang 7 peratus pekerjanya kesan daripada penstrukturan semula.

Ia sebelum ini melaporkan pendapatan AS$2.69 bilion, turun 2 peratus daripada suku sebelumnya.

Dalam sektor hartanah yang menyumbang 29 peratus kepada aktiviti ekonomi negara itu, pelbagai peraturan dibuat bagi mengekang pertumbuhan pesat mereka.

Antaranya, kerajaan Pusat yang menghadkan jumlah hutang syarikat hartanah memberi kesan kepada gergasi hartanah China, Evergrande Group.

Pelaksanaan syarat baharu ini juga memberi kesan kepada syarikat pemaju utama lain termasuk Kaisa Group, Fantasia Holdings, Sunac, Sinic Holdings dan Modern Land.

Kesan daripada peraturan baharu ini, Goldman Sachs berpandangan, sektor hartanah di China akan “terus lemah” dalam beberapa tahun lagi yang akan memberi kesan langsung kepada pertumbuhan ekonomi negara itu terutamanya di bandar-bandar kecil dan pembiayaan hartanah swasta.

Krisis ekonomi China, apa jadi kepada janji?

Antara syarat diberikan Anwar kepada pelaburan RM170 bilion China adalah syarikat yang membawa pelaburan itu perlu mengutamakan pekerja tempatan.

Sekiranya tiada pekerja tempatan yang layak, pekerja China akan diambil bekerja tetapi pekerja tempatan perlu dilatih sehingga mereka mampu melakukan kerja tersebut.

Ini adalah peluang penciptaan pekerjaan dan pemindahan teknologi yang diharapkan daripada peluang pelaburan China ini.

Tetapi krisis pengangguran rakyat China yang dianggarkan melebihi 40 peratus dengan anak muda lepasan universiti mereka juga bergelut mendapatkan pekerjaan, syarat ini bakal membawa pelbagai masalah kepada janji pelaburan ini.

Berdasarkan pengalaman syarikat China yang melaksanakan projek di luar negara mereka termasuk Malaysia misalnya di Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), majoriti pekerja adalah warganegara China.

Pertumbuhan ekonomi domestik China yang lemah dengan mata wang mereka yang semakin susut berbanding dolar AS - pada Julai ia susut 0.2 peratus - menimbulkan kebimbangan tentang komitmen pelaburan mereka kepada negara lain termasuk Malaysia.

Memburukkan keadaan, hutang kerajaan tempatan China yang mencecah 100 trilion yuan turut menimbulkan persoalan tentang keupayaan China melaksanakan komitmen pelaburan asing mereka.

Kecurigaan tentang pelaburan RM170 bilion China ini ada asasnya, seawal baliknya Anwar pada April lalu, pemain industri sudah meluahkan kecurigaan mereka kerana tidak wujud butiran penting dalam 19 memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani, menyifatkannya sebagai “janji atas kertas.”

Pemerhatian menyeluruh kepada kelembapan ekonomi China dan pelaksanaan dasar Xi Jinping yang tidak mesra sektor korporat dalam dunia pasca pandemik diperlukan bagi menilai janji RM170 bilion kerana ia mungkin hanya tinggal janji.



* Datuk Mohd Imran Tamrin merupakan peguam dan pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang.

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis berdasarkan bidang tugasnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.