ADA nada ria kalangan lebih 200,000 pelarian di Malaysia apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada 24 November lepas. Rahman, pelarian Rohingya, salah seorang daripadanya. Dia, yang sudah lebih lima tahun berpindah randah seperti nomad tetapi berdagang di Ampang Tasik Tambahan akhirnya, turut sama menghela nafas semasa menonton perkembangan terkini politik Malaysia di medan Astro AWANI.
Dia begitu berdebar-debar - saat dan momen itu, seperti duduk di dalam mahkamah, senyap menanti hakim atau majistret membacakan keputusan atau tidak ubah seperti cemas menunggu mata akhir penentuan perlawanan badminton bagi perlawanan ranking dunia. Rahman hanya mengerlip matanya apabila hos Malaysia Memilih di Astro AWANI, Najib Aroff membaca perenggan kelima kenyataan Istana Negara.
Perenggan kelima itu dibaca dengan bunyi begini :
“Setelah memperhalusi titah pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, Seri Paduka Baginda telah memberi perkenan untuk melantik Yang Berhormat Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim (Ahli Parlimen P.063, Tambun) sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 selaras dengan kuasa Baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.”
Seingat Rahman, dia gembira bukan apa. Sudah tiga Perdana Menteri bertukar selepas pilihan raya pada 2018. Bagi Rahman, sesegar memorinya, tiga Perdana Menteri itu berlainan benar layanan ke atas warga Rohingya yang ada di Malaysia. Rahman bukan apa, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, semasa Malaysia ditadbir tiga Perdana Menteri dalam satu penggal, Rohingya seolah-olah jadi alat drama politik. Mereka cuma berharga apabila ada isu dan mereka dipergunakan, tetapi ditenggelamkan selepas kejayaan undi atau populariti diraih. Sebab itu, dia berharap benar Perdana Menteri ke-10 ini lain dari yang lain.
Sebenarnya Rahman gembira bukan apa. Dia masih ingat sebelum kenyataan berirama ria itu didengar, Rahman pernah bertemu Perdana Menteri ke-10 itu dalam satu majlis yang turut dihadiri aktivis Rohingya, Ziaur Rahman. Anwar pernah menurunkan tandatangan di buku Ziaur Rahman, Survivor: My Life As A Roghingya Refugee (2021), terbitan Gerak Budaya. Tulisan kata-kata semangat kepada perjuangan getir sebagai pelarian menyusuli turunnya tandatangan itu adalah satu petanda, pada hemat Rahman, Perdana Menteri ke-10 itu prihatin kepada perjuangan dan resah berpanjangan kumpulan bergelar pelarian.
Dan, ria Rahman bertambah berganda apabila Perdana Menteri ke-10 itu melantik Datuk Seri Saifuddin Nasution, sebagai Menteri Dalam Negeri, portfolio yang bertanggungjawab dengan hal ehwal pelarian, pencari suaka, pendatang dan pendatang tanpa izin (PATI).
Hanya satu, Rahman terasa sedikit jauh hati apabila seawal minggu pertama sebagai Perdana Menteri, Anwar didengarnya berkata akan terus komited membantu dalam isu Palestin. Habis? Bagaimana dengan Rohingya? Memang, Rahman dan barangkali lebih 100,000 pelarian Rohingya yang lain ada di Malaysia faham, sebelum menjadi Perdana Menteri, Anwar aktif dalam perjuangan dengan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Benar, ABIM ada hubungan rapat dengan perjuangan Palestin sejak Allahyarham Yasser Arafat berada dalam Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) lagi. Tetapi ABIM juga kuat menyokong Rohingya, lebih-lebih lagi selepas 2017, apabila tindakan keras tentera Myanmar membawa etnik itu berduyun-duyun melarikan diri ke negara jiran termasuk Malaysia. Ketika itu, perhatian ke atas Rohingya bukan kepalang, mencurah-curah simpati ke atas mereka, berbakul-bakul bantuan disalurkan dan menggunung pujian kepada mana-mana mereka yang membela Rohingya. Itulah cerita sebelum ini, sebelum Malaysia bersedia menerima kerajaan perpaduan, seperti mana sekarang.
"Saya gembira bukan apa, pada 23 April 2020, Anwar pernah menciap di Twitter mengeluarkan kenyataan mengenai Rohingya, walaupun dibalas dengan komen negatif kerana membela etnik itu, tetapi antara lain Perdana Menteri baharu Malaysia kerajaan perpaduan itu tegas menyatakan bahawa Malaysia ada tanggungjawab untuk tidak menolak Rohingya atas dasar kemanusiaan," kata Amir, seorang rakan Rohingya, tinggal di Pahang, yang sangat aktif berkicau di Twitter.
Sebagai pengkaji pelarian minoriti Islam, yang merangkumi Rohingya dari Myanmar, saya terpanggil untuk berdiskusi perkaitan antara kerajaan baharu Malaysia dengan dasar ke atas pelarian serta apa yang boleh dipantau terhadapnya. Dalam hal ini, saya berkongsi platform dengan MERCY berhubung perbincangan mengenainya.
Kepada Presidennya, saya tanyakan bagaimana agaknya untuk menjadikan Malaysia yang lebih sejahtera jika layanan ke atas pelarian tidak manusiawi, memandang mereka dengan pandangan hodoh dengan naratif yang buruk juga?
Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus, menjawab optimis bahawa ada angin perubahan yang segar sedang bertiup bahawa kerajaan sekarang lebih terbuka dalam membantu pelarian Rohingya di negara ini.
"Hasrat itu sebenarnya sejajar dengan langkah kerajaan untuk meratifikasi Kovensyen Antarabangsa Mengenai Pelarian 1951 seperti yang termaktub dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH) sebelum ini,'' tambah seorang rakan badan bukan kerajaan (NGO) dalam ABIM, menguatkan hujah Dr Ahmad Faizal.
“Tidak dinafikan kerajaan membuka ruang untuk perbincangan, malah kita bantu kongsi input bagi memperkasakan etnik Rohingya merangkumi aspek kesihatan, pendidikan, perlindungan dan ratifikasi, " kata NGO itu sebelum menambah, sudah sampai masanya beberapa isu penting disuarakan untuk perhatian kerajaan.
“Bukan mudah untuk melaksanakannya, iaitu ratifikasi konvensyen kerana sudah pasti, kerajaan ada permasalahan dan kekangan yang kita tidak nampak. Bagaimanapun, kita perlu membantu kerajaan untuk mencapai rumusan yang lebih baik, kata seorang pegawai khas di KDN semasa saya merisik mengenai perkara ini.
Segarkan ingatan, soal perkembangan proses meratifikasikan Konvensyen Pelarian 1951 di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam usaha menangani krisis pelarian khususnya Rohingya, ernah ditanya pada 2018, ketika itu oleh Shaharizukirnain Abd. Kadir (Pas-Parlimen Setiu). Ini kerana PH yakin dan percaya hanya melalui langkah ini pelarian Rohingya akan dapat dibantu dalam bidang kesihatan, pendidikan, latihan vokasional dan pekerjaan, sekali gus mampu mengelak pelbagai kes jenayah yang terpaksa dilakukan oleh mereka bagi menampung kehidupan seharian mereka.
Namun, sehingga jatuhnya kerajaan PH pada 24 Februari 2020 sekalipun, soalan ini tidak berjawab, dan, barangkali, ada moleknya bersambung dalam kerajaan perpaduan sekarang, yang terdiri daripada Pakatan Rakyat (PKR), DAP, Amanah dan Barisan Nasional (BN).
Mengambil kira itu, mari kita kembali ke 2018, di mana dalam Janji 59 (muka surat 152) Manifesto PRU 14 PH jelas terpampang janji PH bahawa: “Kerajaan PH akan meratifkasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pelarian 1951 agar pelarian yang datang ke Malaysia untuk menyelamatkan diri dapat diberi bantuan sewajarnya.”
Dalam Janji 35 (muka surat 99) Manifesto PRU 14 PH jelas terpampang janji PH begini: “Kerajaan PH akan mengabsahkan status lebih dari 150,000 orang pelarian yang mempunyai kad UNHCR sebagai pelarian dan memberi kebenaran untuk mereka bekerja.”
Jadi, kalau kembali kepada Rahman, gembiranya sudah pasti berganda-ganda jika di era kerajaan sekarang, perkara itu boleh dilaksanakan. Amin.
Seorang lagi rakan yang teruk dibantai kerana sentimen kebencian kepada pelarian - Rohingya, lebih khusus - sebelum ini, mahu benar sisi negatif tentang Rohingya yang bertitik tolak daripada ketiadaan maklumat dan kefahaman sebenar tentang diri, asal dan masalah yang dihadapi kaum itu, minoriti yang dilupakan negara sendiri, Myanmar, diperbetulkan, di era sekarang, di bawah kerajaan perpaduan.
"Ya benar, COVID-19 mengubah banyak tentang kita, kemanusiaan dan manusiawi. Berperang antara ekonomi perut dengan poket yang menipis kesan daripada sekatan menyebabkan sangsi menguasai, lebih-lebih terhadap bukan anak watan. Maka, tiada kefahaman yang betul juga barangkali, sukar untuk masyarakat di negara ini untuk duduk dan meneliti orbit kehidupan mereka baik sebagai pelarian atau minoriti yang tertindas," kata rakan itu yang juga seorang Profesor Madya di sebuah universiti awam di negara ini.
Jangan tidak tahu, tambahnya, masalah Rohingya mirip Palestin dan Bosnia, sama-sama ditindas kerana agama dan diusir dari tanah air sendiri kerana faktor minoriti, sekali gus berkait pula dengan soal identiti. Namun anehnya, Rohingya tidak begitu mendapat pembelaan sebagaimana Palestin dan Bosnia atau Aceh sekali pun. Nah, justifikasinya, kalau kita boleh tidak berkata buruk tentang Palestin, mengapa kita boleh pula mencerca mereka dengan menghalau Rohingya tanpa belas?
Maka, sekarang, putar masa semula ketika COVID-19 melanda negara - ditadbir tiga Perdana Menteri, ketika awal, puncak dan peralihan pandemik ke endemik. Ketika itu, sentimen kepada Rohingya begitu teruk sekali sehingga pada satu ketika, kedatangan Rohingya ditolak semasa mereka di lautan, kelaparan dan lesu selepas berhari-hari belayar dengan penuh bahaya. Malaysia dikritik ketika itu. Kalau itu belum cukup sebagai contoh buruknya kita melihat Rohingya, ada satu peristiwa lain di mana seorang pemimpin membuat kenyataan bahawa Rohingya boleh sahaja balik ke negara asal jika merasakan mereka disisih atau dianiaya. Ia mendapat pula sokongan beberapa yang lain. Malaysia, sekali lagi, ketika itu dikritik hebat. Sungguh, cara tanganinya mencerminkan darjah kemanusiaan kita sesama manusia adalah pada kadar yang begitu minimum.
Secara perlahan-lahan selepas COVID-19 kini mula kurang angkanya, sekatan tidak lagi ada, poket mula tebal semula, naratif Rohingya mahu mencuri periuk nasi warga tempatan, beransur-ansur lebih baik. Dan, ketika mana Malaysia sudah menerima senario luar biasa, menyambut kerajaan perpaduan titah Seri Paduka, ada juga moleknya radar perhatian tidak wajar beralih kepada satu lagi kumpulan tertindas, Rohingya.
Antara bentuk perhatian yang diperlukan mereka termasuk integrasi kumpulan pelarian yang terdiri daripada elemen pendidikan, kesihatan dan pekerjaan.
Di sini, dengan harapan tinggi untuk sebuah negara lebih sejahtera di bawah kerajaan perpaduan, Rahman, yang pernah bertemu Anwar, Perdana Menteri ke-10 sudah pasti mahu sampaikan kepada beliau: "Ambil kisah juga pelarian Rohingya, selain Palestin ya, Mr PM."
Kita, yang mengikuti perkembangan ini dengan tekun dan minat, menunggu 2023 dengan penuh cermat, agar Malaysia menjadi tajuk besar antarabangsa lagi - dengan ditandai baik sahaja dipuji menyantuni pelarian, bukan dikritik kerana tidak cukup berbuat baik, berbuat lebih baik kepada manusia lain.
Tetapi wajar diingat, tanpa penglibatan pelbagai pihak yang berkepentingan, untuk hapuskan stereotaip yang ada di ketika mana ruang tersebar maklumat tidak benar masih dibimbangi menjadi mudah semula, ditambah ekonomi mula perlahan-lahan mencengkam menjadi meleset, ia bukan mudah seperti membalikkan tapak tangan untuk selesaikannya, tetapi tidak juga payah sehingga tidak boleh dilakukan. Ini merujuk kepada proses meratifikasi konvensyen berkaitan pelarian tanpa jalan yang kurang berliku.
Memandangkan situasi yang masih tegang dan tidak berpihak kepada Rohingya di Myanmar, Malaysia sudah pasti jadi destinasi Rohingya lagi, untuk datang ke sini. Apa lagi selepas di imej tersiar dari Acheh, Rohingya turut tanpa berselindung akui akan ke Malaysia untuk mengejar kehidupan lebih balik dengan bekerja di sini. Ini juga pertimbangan yang perlu diambil kira oleh Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10, yang pernah berjanji untuk memberikan naratif lebih "murni" kepada pelarian, lebih khusus, Rohingya. Dan, di tahun 2023, diharap mereka tidak lagi menjadi alat drama politik. Amin.
*Azlinariah Abdullah menulis tesis PhD bertajuk "The Myanmar Rohingyas: Challenges Faced by the "Refugee" Community in Malaysia 2014-2016, penulis buku 'Pengembara Tanpa Pasport' dan Editor Astro AWANI.
**Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Dr Azlinariah Abdullah
Sat Dec 31 2022
Anehnya, Rohingya tidak begitu mendapat pembelaan sebagaimana Palestin dan Bosnia atau Aceh sekali pun. - Astro AWANI
Polis analisis rekod telefon Presiden Yoon
Polis menganalisis rekod telefon peribadi Presiden Yoon Suk Yeol selepas mendapatkannya sebagai sebahagian daripada siasatan mereka terhadap pengisytiharan undang-undang tentera yang gagal awal bulan ini, kata pegawai.
Agenda AWANI: Pelan hala tuju transformasi AIR 2040
Ketahui cabaran pengurusan dan usaha mentransformasi sektor air negara menerusi pelan hala tuju transformasi AIR 2040 bersama YB Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam Agenda AWANI 9 malam ini
Pasaran getah tempatan ditutup rendah
Pasaran getah tempatan ditutup rendah hari ini sejajar dengan aliran menurun di pasaran niaga hadapan getah serantau, kata seorang peniaga.
TikTok mungkin dibenarkan beroperasi "untuk sementara waktu", kata Trump
Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Ahad memberi bayangan beliau mungkin membenarkan TikTok meneruskan operasi di negara itu.
PTPTN lancar kempen LESTARIPendidikan, usaha menjamin dana pendidikan negara
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melancarkan kempen LESTARIPendidikan bagi memastikan pendidikan tinggi di Malaysia kekal inklusif, mampan, dan relevan untuk generasi akan datang.
[TERKINI] Polis tahan seorang lelaki bakar wanita
Polis New York menahan seorang lelaki ahad kerana membakar seorang penumpang wanita kereta api bawah tanah hingga maut.
Runtuhan tebing ancam nyawa
Jabatan Pengairan dan Saliran memulakan kerja darurat di tebing Sungai Kelantan yang runtuh berhampiran sebuah kondominium dan hotel di Jalan Post Office Lama, Kota Bharu.
Pesawat baharu A330neo Malaysia Airlines bermasalah, Airbus jamin beri sokongan penuh
Pesawat yang dilengkapkan dengan teknologi enjin terbaharu Rolls Royce, mengalami masalah teknikal selepas melakukan penerbangan sulung yang dikaitkan dengan kebimbangan membabitkan kualiti pengeluaran serta proses penghantarannya.
Agenda AWANI: Isu doktor letak jawatan | Selesaikan segera
Apa strategi yang perlu segera diambil bagi menangani masalah peletakan jawatan pakar perubatan awam di negara ini supaya tidak menggugat ketahanan sektor kesihatan awam? Diskusi 8.30 malam
[INFOGRAFIK] Dua tahun pentadbiran kerajaan MADANI
Berikut adalah info berkenaan dengan Dua tahun pentadbiran kerajaan MADANI
MSF gesa bantuan dan perlindungan tanpa halangan untuk pelarian Rohingya di Bangladesh
MSF gesa pihak berkuasa Bangladesh memastikan akses segera dan tanpa halangan kepada bantuan kemanusiaan, penjagaan dan perlindungan untuk semua pelarian Rohingya.
Bangladesh tidak dapat tampung lagi pelarian Rohingya - Penasihat Luar
Dhaka gesa negara dan organisasi yang mengesyorkan pengambilan selanjutnya supaya mereka berkongsi beban itu sendiri.
Perutusan Aidilfitri: Setiausaha Agung OIC gesa tamatkan pencerobohan maut Israel di Gaza
Taha menekankan penderitaan umat Islam di zon konflik di seluruh dunia, khususnya rakyat Palestin di Gaza yang berdepan pencerobohan kejam oleh tentera Israel.
Kumpulan pelajar Indonesia serbu pusat penempatan Rohingya
Kumpulan pelajar tersebut dilihat berlari ke ruang bawah bangunan yang menempatkan kumpulan pelarian itu.
Pelarian Rohingya buang nasi dibekalkan penduduk Aceh
Kawasan pantai yang sebelum ini bersih dipenuhi sampah sarap dan plastik makanan yang dibuang merata-rata oleh pelarian Rohingya.
Pengotor antara punca Aceh enggan terima etnik Rohingya
Kehadiran pelarian Rohingya didakwa mengganggu kehidupan seharian penduduk, selain muak dengan sikap mereka yang gagal berasimilasi.
[KOLUMNIS] Ambil kisah juga perjuangan pelarian selain Palestin, Mr PM10
Ada nada ria kalangan lebih 200,000 pelarian di Malaysia apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri.
Pegawai PBB lawat Bangladesh, nilai situasi hak asasi, keadaan pelarian Rohingya
Kunjungan itu ialah lawatan rasmi pertama oleh ketua hak asasi manusia PBB ke Bangladesh, sebuah negara yang mempunyai populasi penduduk melebihi 165 juta.
Pelarian Rohingya: Pendekatan Malaysia berasaskan kemanusiaan
Selepas satu tempoh tamat, pelarian terbabit boleh dihantar bekerja di negara-negara maju yang memerlukan tenaga mahir.
Bot bawa 31 PATI Rohingya ditahan di perairan Langkawi
Bot itu memuatkan 18 pelarian dewasa lelaki, sembilan dewasa wanita dan empat kanak-kanak.