KAJANG: Kolej Universiti Inovatif muncul sebagai pusat pengajian pertama di Malaysia yang menawarkan latihan menembak dalam Kursus Asas Keselamatan dan Penggunaan Senjata Api sejak 2023.

Kursus berkenaan diperkenalkan di Fakulti Latihan Penguatkuasaan Undang-Undang (LPU) kolej tersebut.

Kursus Asas Keselamatan dan Penggunaan Senjata Api merupakan antara silibus dalam pengajian peringkat sijil, diploma dan ijazah sarjana muda Penguatkuasaan Undang-Undang di LPU.

Demi memperkenalkan bidang kerjaya yang mempunyai pasaran kerja yang tinggi pihak Kolej Universiti Inovatif  yang mula beroperasi sejak tahun 1999 telah mengambil pelbagai inisiatif dengan memberi pendedahan amali kepada pelajar.

Selain latihan menembak di lapang sasar, LPU juga memberi pendedahan latihan kawad dan pengalaman di mahkamah bagi memperkukuhkan pengetahuan serta pengalaman dalam bidang pengkhususan pelajar.

Dalam usaha memperkasakan lagi LPU, pihak kolej turut melancarkan Majlis Perkasa sebagai pengenalan Kursus Asas Keselamatan dan Pengunaan  Senjata Api dan Ijazah Sarjana Muda Penguatkuasaan Undang-Undang (Dengan kepujian).

Perasmian Kursus Asas Keselamatan dan Pengunaan Senjata Api dan Ijazah Sarjana Muda Penguatkuasaan Undang-Undang (Dengan kepujian) dirasmikan oleh Ketua Lesen Pasukan dan Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Lesen Senjata Api), Ibu Pejabat  Polis Diraja Malaysia (PDRM), SAC Datuk Dzulkhairi Mukhtar di Kelab Menembak Bandar Kajang, baru-baru ini.

Menurut Dzulkhairi, usaha memperkenalkan Kursus Asas Keselamatan dan Pengunaan Senjata Api serta Ijazah Sarjana Muda Penguatkuasaan Undang-Undang  oleh pihak kolej merupakan inisiatif yang baik.

“Saya meneliti usaha pihak fakulti dalam memberikan latihan kecergasan jasmani, ujian psikologi dan latihan kawad sebagai satu usaha pihak fakulti dalam memperkukuhkan program pendidikan berasaskan latihan amali demi melahirkan kadet elit program penguatkuasaan undang-undang.

“Inisiatif pihak kolej dalam memperkenalkan latihan berasaskan program penguatkuasaan undang-undang iaitu dengan Kursus Asas Keselamatan dan Pengunaan Senjata Api merupakan usaha yang pertama di Malaysia,” kata Dzulkifli semasa berucap pada majlis pelancaran kursus tersebut.

Turut hadir, Naib Canselor Kolej Universiti Inovatif, Prof Emeritus Datuk Seri Mohamed Mustafa Ishak.



Tambah beliau, di Malaysia pemilikan dan penggunaan senjata api di kawal ketat  undang-undang di bawah Akta Senjata Api 1960 dan Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat)  1971. Justeru, tegas beliau, memupuk sikap disiplin yang tinggi dalam penggunaan senjata api amatlah penting.

Dalam perkembangan sama, Dzulkifli merakamkan ucapan tahniah kepada Kolej Universiti Inovatif kerana telah mendapat perakuan akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi program pengajian Ijazah Sarjana  Muda Penguatkuasaan Undang-Undang (Dengan Kepujian) atau dikenali sebagai Bachelor in Low Enforcement (Honours).

Secara peribadi, beliau berpendapat, adalah penting untuk golongan muda menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi untuk lebih berdaya saing dalam pasaran pekerjaan kelak.

“Mana-mana agensi baik swasta atau kerajaan, sijil itu sangat penting. Jika dahulu untuk menyertai. Jika dahulu mereka yang ingin menjadi inspektor dalam PDRM perlu ada  Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kemudian dinaik taraf ke peringkat diploma.

“Tetapi sekarang untuk menjadi inspektor perlu ada ijazah. Itu adalah langkah yang pertama yang perlu ada untuk memohon jawatan inspektor. Sama juga dengan jabatan kerajaan yang lain jika mahu mohon untuk gred 41 perlu ada ijazah. Kita  menggalakkan untuk (golongan muda) sambung belajar,” ujar beliau lagi.