KETIKA remaja dan masih bersekolah, Rahimidin bukan "anak gaul" yang mudah berkawan. Sifat pemalunya adalah kekangan utama. Ditambah lagi, dirinya tidak ramah bercakap.
Walaupun pendiam - Rahimidin hidup dalam "kebisingan" minatnya yang luar biasa terhadap sastera terutama puisi. Benih yang tumbuh dalam dirinya secara alami.
Rahimidin menjadi penyair hebat bukan kerana rajin berbengkel, diasuh, atau dikerah belajar menyusun kata-kata indah menjadi puisi.
Rahimidin sendiri adalah puisi. Maksudnya, dirinya secara peribadi adalah jelmaan puisi dan puisi pula menjelmakan dirinya.
Apa yang dicapai Rahimidin kalau dilihat dalam senario Google dan Wikipedia - hanyalah data peribadinya. Malah, membaca artikel saya juga hanya sekadar satu kisah peribadi.
Sekiranya mahu mengenali dan bercakap mengenai Rahimidin sebagai penyair, ia amat berat. Saya tidak mampu bertekun dan mengembara mencari sosok dirinya dalam puisi.
Rahimidin lebih hidup di mata saya sejak 1987 hanya sebagai manusia. Istimewa dan hebatnya di situ - sebagai orang biasa tetapi minatnya pada puisi sangat luar biasa.
Seterusnya dikagumi kerana budak remaja yang kerap terkena sakit lelah sebenarnya kental jiwa.
Si pendiam ini meneruskan hidup dewasanya dengan tekun dan berhemah - mengabdi diri menulis puisi.
Saya hanya faham sebahagian puisi-puisinya. Namun, sangat tipis ilmu untuk mengembara dan bercerita siapa Rahimidin dalam dunia puisi.
Sedikit benar kefahaman apabila menelaah Sekepal Tanah (DBP 1995), Matahari Berdoa (Gema 1998) dan Di Kebun Khatulistiwa (DBP 2005).
Rahimidin makin sukar dikenali dalam Aksara (Ilmu Bakti, 2009), Perjalanan Salik (Pustaka Nusa,2009), Perahu Fansuri (Sindiket Soljah, 2011) dan Rawana (Pustaka Nusa, 2012).
Dia menjadi lebih misteri walaupun puisi-puisinya lebih mudah dan indah dalam Bayang Beringin (ITBM, 2013), Sehelai Daun Kenangan (ITBM 2015) dan Kulukiskan Engkau Biru Dan Engkau Bertanya Kenapa Tidak Merah Jambu Seperti Warna Kesukaanku? (ITBM 2016).
Sekadar membaca puisi sebagai himpunan ayat-ayat yang ditulis penyair memang mudah. Namun, membaca makna dalam karya seorang penyair dan mencari realiti yang setara dengan akhlak dan rahsia pemilik katanya - itu sangat sukar.
Apalagi manusianya Rahimidin Zahari.
Rahimidin terdidik dengan baik dalam agama. Seasal dari kampung di Bechah Keranji, Kelantan sampailah ke Kuala Lumpur - dia masih menyediakan waktu mengikuti pengajian "tadah kitab".
Di Kuala Lumpur, sebelum subuh pada tiap Ahad, dirinya sudah berada di Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq, Bangsar. Rahimidin menadah kitab bergurukan syarah Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam.
Sajak religus tidak ditulisnya kerana kegilaan menjadi penyair yang terkait sufi. Atau, mahu dikenang sebagai pancatat nama tuhan paling banyak dalam puisi.
Pada 2012, tiap Subuh Ahad, Rahimidin berada di Bangsar, mengikuti kuliah "Syamail Rasulullah" yang kitabnya disyarahkan Syeikh Ahmad Fahmi.
Dia selalu mengajak saya hadir dalam kuliah itu. Pelawaan pertama ketika kami bertemu setelah berbual di telefon mengenai isu Syeikh Nurudin Al Banjari Al Makhi.
Rahimidin sangat gusar dan meminta saya menjelaskan isu-isu yang berkait dengan tuduhan dan fitnah terhadap ulama itu.
"Midin, kita jumpalah senang. Aku ceritakan detilnya."
Kami bertemu dan saya menjelaskan keadaan "politik agama" yang agak menekan ulama pada waktu itu.
Saya masih ingat, betapa lega wajah Rahimidin apabila mengetahui, Syeikh Fahmi tidak diancam apa-apa. Tidak disenarai hitam dan bebas meneruskan kuliahnya.
Selepas pertemuan itu, tiap kali berjumpa, dia masih mengajak saja hadir di kuliah ilmu Syeikh Fahmi. Ada nada memujuk. Sangat bersahabat bunyinya.
"Datanglah... lepas nadah kita sarapan," katanya.
Saya akan selalu ingat bujukan itu. Mana ada kawan yang seumur hayat memujuk saya berkali-kali menadah kitab? Tapi saya fikir, ajakan itu kerana adanya persahabatan.
Dunia remaja budak kurus yang yang kaya cinta
Kami berkenalan pada September 1987. Saya budak 20 tahun yang ingin jadi seniman. Anak Kedah yang berdagang ke Kuala Terengganu kerana mahu belajar main teater.
Rahimidin pula selalu mengunjungi Sanggar Teater Asyik sejak 1985. Dia senang dengan Marzuki Ali. Penyair dan aktivis teater yang disapanya sebagai Abe Ki.
Menulis sajak religus bukan mainan untuk Rahimidin. Sama seperti ketekunannya menulis mengenai seni warisan Kelantan terutama wayang kulit. Atau, menulis mengenai isteri, anak, nenda, bonda atau ayahandanya.
Rahimidin menulis sesuatu yang dia cintai. Bukan sekadar idea untuk menjadi penyair. Ini bahagian yang saya faham dan kagumi. Bahawa, Rahimidin menyair pada subjek yang dicintainya.
Dia menyintai solatnya; menyintai solat adalah sifatnya sejak remaja. Ketika datang menumpang di Sanggar Teater, Kuala Terengganu untuk membaca buku-buku - urusan solat satu keutamaan.
Berkain pelikat dan berbaju pagoda, Rahimidin meredah gelap laluan di celah-celah rumah kampung berdenai rumput.
Berjalan kaki untuk bersolat jemaah subuh di Masjid Kampung Raja, Bukit Besar. Masjid yang tiga dekad lalu sangat kecil dan terhad ruang jemaahnya.
Selepas subuh, dia duduk mendengar kuliah atau sesi tadah kitab kalau ada. Dirinya sejak remaja sangat menjaga agama. Menjaga solat ialah asas dirinya; sebagai tanda "Rahimidin itu sang hamba."
Dia sayangkan seniman Kelantan terutama dalang wayang kulit. Kasih dan hormatnya sangat besar pada seniman di balik kelir. Kita dapat melihat keprihatinan Rahimidin dalam soal budaya Kelantan.
Kumpulan puisi Laut Tujuh Gelombang Buih (2014, ITBM) satu usaha tanda kecintaannya pada seni wayang kulit.
Walaupun pemalu dan tidak gemarkan 'limelight', dunia kelir mendorongnya belajar hingga berbakat sebagai tok dalang yang mampu mengadakan persembahan.
Ini sosok kesenimanan Rahimidin yang sukar kita fahami. Dia tidak memiliki apa-apa keuntungan melalui minat ini. Selain kecintaannya.
Minat seninya meluas. Selama hayatnya setelah bekerja dan punya wang, Rahimidin juga pengumpul lukisan. Apabila meninggal, selain ribuan buku, terdapat banyak koleksi lukisan yang dibelinya bertaburan di pejabat dan di rumah.
Semua kenangan ini membuatkan saya merunut kembali memori seorang Rahimidin ketika masih budak remaja.
Saya hubungi teman-teman zaman remaja yang bersama Rahimidin untuk melengkapkan ingatan bagi catatan kenangan ini.
Barangkali, dengan memunggah dunia remajanya, kita jadi lebih kenal seorang Rahimidin pada usia dewasa dan hayat hidupnya.
Dunia senyap Rahimidin sebagai budak penyedih tidak akan dijangkau sebarang orang. Kerana sifatnya sendiri yang tidak membuka diri.
Saya sendiri menganggap Rahimidin sebagai seorang yang saya hanya kenal namanya, saya cam wajahnya, saya baca puisinya dan saya kagum pada kepenyairannya.
Mengenang lima tahun Rahimidin pergi, saya mencari sahabat-sahabat lama di Sanggar Teater Asyik, Kuala Terengganu.
Siapa yang pernah dianggap si penyedih ini sebagai sahabat dan siapa yang mengenangnya dengan penuh kasih-sayang.
Budak penyedih yang pendiam
Seorang Rahimidin pada usia 19 tahun bukan saja pendiam dan sukar berbual, tetapi seorang penyedih yang sangat terbeban oleh kekecewaan.
Siapa yang kenal Rahimidin pada usia itu akan tahu - dia bukan anak remaja yang bahagia. Matanya sangat jelas menyimpan beban kecewa. Apa lagi setelah gagal mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran pada 1987.
Namun, budak kurus ini kental jiwanya. Dia punya kemahuan hingga akhirnya memperolehi Ijazah Sarjana Muda Seni Halus dari Universiti Sains Malaysia. Malah, belajar lagi dan memiliki Diploma Pengurusan Seni dari Universiti Malaya.
Apa pun suka saya jelaskan. Tidak ada sesiapa yang lebih mengenal Rahimidin sebagai budak remaja yang pemurung tetapi sangat bercita-cita menjadi penyair.
Cita-cita sastera budak kurus ini hanya diketahui mentornya, Rosli K Matari.
Saya tidak pernah bertemu Rosli - sang bapa, guru, pendorong dan pengasuh spiritual yang menjaga Rahimidin.
Namanya selalu disebut Rahimidin tiap kali mengimbau jasa seorang yang dianggapnya sebagai abang, guru dan mentor.
Siapa Mie di mata Wikunila MS
(Wikunila mengenali Rahimidin pada 1987 ketika "Mie" kerap ke Kuala Terengganu mengunjungi Sanggar Teater; rumah naungan Marzuki Ali yang didiami anak-anak muda yang meminati teater. Rumah ini juga sanggar singgahan yang terbuka pada semua penggiat seni. Selain terdapat ribuan buku.)
Ada sosok tubuh kecil berkumis nipis bernama Rahimidin Zahari. Dia hadir ke Sanggar Teater secara berkala. Berdasarkan tradisi kami, mereka yang punya hubungan akan dianggap sebagai keluarga besar Teater Asyik.
Peringkat awal kami mengenalinya dengan nama Mie yang menulis sajak.
Sewaktu di Sanggar Teater, Mie rajin membaca karya-karya awal yang kami tulis. Itu kenangan 33 tahun lalu. Sesi ini kami perkenalkan istilah ‘sajak kuat’.
Sebagai remaja, sesi ini menimbulkan kesan humor kepada kami yang baru berjinak-jinak dengan dunia puisi. Saling membaca puisi ertinya saling mentertawakan karya sesama rakan.
Mie seorang pendiam dan banyak masa di sanggar dihabiskan dengan menelaah koleksi buku-buku sastera milik Marzuki Ali. Terutama buku-buku dari Indonesia.
Sesi "sajak kuat" ketika usia muda remaja ini juga menjadi permulaan minat kami semua menulis. Walaupun belum mencapai apa-apa.
Kami jadi cemburu apabila kumpulan puisi "Sekepal Tanah" karya Mie menang anugerah Sastera Darul Iman III 1994.
Cemburu pada Mie menjadikan kami bertekad dan keazaman pun menyala untuk berlumba karya.
Perhubungan kami semakin akrab apabila Mie menjadi pelatih amali di Lembaga Muzium Negeri Terengganu. Pada 2003, sewaktu dalam Pengajian Diploma Pengurusan Seni di Universiti Malaya.
Saya sebagai Pembantu Kurator, jadi kami banyak masa bersama. Pada usia itu, dia sudah mahir bergurau.
Karakternya yang bersahaja dan rajin berseloroh menjadikan Rahimidin disenangi.
Perhubungan akrab berterusan lagi. Terutama dengan anak-anak Sanggar Teater ketika Mie bertugas di JKKN Pahang dan di Istana Budaya.
Rahimidin Zahari - sahabat budiman yang selalu menginspirasikan.
Siapa Rahimidin di mata Burn
(Abu Bakar Musa antara aktivis Sanggar Teater dan mengenali Rahimidin sejak 1987)
Sepanjang dia berulang-alik ke sanggar, memang jarang berbual. Mie asyik dengan buku. Sangat pendiam dan tak mudah diajak bersembang.
Tapi, dia tak sombong. Cuma, dia susah berbual. Selama 30 tahun selepas itu, dia kekal mesra. Kalau jumpa sentiasa merendah diri.
Walaupun asalnya hanya budak pendiam dan sudah menjadi penyair sohor, Mie tetap merendah diri. Hak itu sifat dia yang kita kenang.
Sangat merendah diri.
"Paling diingat tentu cakapnya yang lembut tetapi makan dalam. Walaupun dalam senyum beralun," kata Burn.
Rahimidin di mata Zalelawati Abu Bakar
(Ela antara pelajar yang kerap ke Sanggar Teater pada 1987. Tiga tahun lebih muda dari Rahimidin. Pada usia 16 tahun, Ela menganggap Rahimidin sebagai abang).
Dalam keluarga sanggar, Rahimidin paling pendiam. Jarang bercakap tetapi jelas kelihatan sentiasa berfikir sendirian.
Sifat seriusnya menyebabkan kami hanya setakat bertukar senyuman walaupun kerap bertemu. Sesiapa pun sebenarnya, tidak akan berani menegurnya kerana dia sentiasa tekun dengan buku-buku.
Saya juga tidak berani menegurnya. Dia datang jauh dari Kota Bharu dan berada di sanggar kerana menumpukan perhatian pada bahan bacaan.
Walaupun serius, Rahimidin punya senyuman menawan. Itu keistimewaan yang buat kita tahu dia bukan sombong. Cuma, dunianya pada waktu itu hanya buku-buku dan berfikir-fikir sendirian.
Saya masih belajar di Tingkatan Empat dan dia baru habis STP. Ketika di sanggar kami sama-sama membaca buku, jadi sempat berbual sekadarnya walaupu kerap bertemu.
Apabila sama-sama dewasa, dan dia mula terkenal sebagai penyair, saya membaca puisi-puisinya. Saya kurang faham makna puisi-puisinya ketika itu.
Sekarang, setelah dia pergi dan saya lebih dewasa pada usia 40-an, saya lebih memahami puisi-puisinya. Kami jarang bertemu selepas era di sanggar, kerana dia memilih Kuala Lumpur dan saya pilih mengajar di Kelantan.
Saya lebih faham maksud puisi-puisinya hanya setelah dia pergi. Tapi saya tetap membacanya, kerana dia istimewa sebagai Rahimidin Zahari.
Nota:
Begitulah Rahimidin dalam kenangan rakan-rakan seni yang sempat mengenalnya pada usia remaja.
Rahimidin akan kekal dalam ingatan kepada manusia di sekitarnya sebagai penyair religus dan peminat budaya tradisi Kelantan.
Si kurus yang pendiam dan penyedih, tetapi dewasa sebagai lelaki matang yang mudah diajak berseloroh.
Dalam sastera Malaysia, namanya tercatat sebagai antara penyair penting dalam rak karya bersifat religus dan budaya.
Zainal Rashid Ahmad merupakan wartawan dan penulis sastera. Beliau telah banyak novel antaranya Hikayat Tanah Jauh (2015), kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014) dan lain-lain.
Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.