KOTA KINABALU: Sabah hari merekodkan satu kluster baharu melibatkan penularan jangkitan di tempat kerja, menurut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri.

Datuk Seri Masidi Manjun mengesahkan kluster itu dikenali sebagai Kluster Sungai Pin 2.

Tambahnya, kes indeks ini merupakan seorang pekerja wanita berusia 52 tahun, warganegara Indonesia di sebuah ladang sawit berdekatan Sungai Pin, Kinabatangan.

"Setelah bergejala sejak 10 Ogos, kes indeks disahkan positif COVID-19 (RTK-Ag) di Klinik Kesihatan Batu Putih, Kinabatangan dan telah dirujuk ke Hospital Kinabatangan untuk rawatan lanjut.

"Aktiviti persampelan kontak seterusnya mendapati seramai 19 kes positif dalam kalangan kontak pekerja dan tanggungan," katanya.

Sementara itu, aktiviti siasatan, persampelan COVID-19 dan disinfeksi masih diteruskan di lapangan untuk menilai sebaran jangkitan dan risiko kemungkinan jangkitan lebih meluas kepada pekerja ladang berdekatan yang lain.
BACA SEMUA BERHUBUNG COVID-19 DI SINI


Masidi yang juga jurucakap COVID-19 bagi negeri Sabah, berkata sebanyak 2,413 kes positif baharu dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 111,346 kes.
BACA SEMUA BERHUBUNG VAKSIN COVID-19


Manakala, sebanyak 18 kes kematian dilaporkan iaitu enam kes di Tawau, lima kes di Kota Kinabalu, empat kes di Sandakan dan masing-masing satu kes di Penampang, Tuaran dan Kunak.