KUALA LUMPUR:Kerajaan Malaysia, melalui Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini memeterai perjanjian untuk membeli tambahan 12.2 juta dos vaksin COVID-19 Pfizer.

Perjanjian dimeterai secara telesidang oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba yang mewakili kerajaan Malaysia dan Pengurus Negara Pfizer (Malaysia dan Brunei), Luksanawan Thangpaibool bagi pihak Pfizer.

Perjanjian disaksikan oleh Ketua Pasaran Baru Muncul Asia Pfizer, Anil Argilla.

Perjanjian terbaharu itu menjadikan jumlah vaksin Pfizer yang diperoleh oleh Malaysia adalah sekitar 25 juta dos, yang dijangka mampu menampung 39 peratus daripada jumlah penduduk.

Kerajaan sebelum ini menyasarkan untuk memastikan liputan vaksin kepada 70 peratus rakyat.

Vaksin akan diperoleh dengan beberapa syarikat antaranya AstraZeneca, Covax dan Pfizer.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin sebelum ini menyatakan Malaysia dijangka menerima vaksin suku pertama tahun 2021.