PUTRAJAYA :Kementerian Kesihatan (KKM) akan memastikan semua individu yang memasuki bangunan Parlimen bebas daripada COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, langkah itu termasuk melakukan saringan dan ujian COVID-19 dua minggu sekali terhadap petugas serta ahli Parlimen.

KKM melakukan tindakan awal dan meningkatkan kawalan serta pencegahan ke atas semua petugas dan ahli Parlimen bagi mengekang penularan COVID-19 ke kawasan-kawasan wakil rakyat terlibat. 

"Sekarang ni ahli Parlimen ada 221 orang dengan petugas juga. Kalau ada YB ada pembantu lagi mungkin berjumlah lebih 400 orang, jadi bilangan itu ramai.


"Walau SOP ada, namun kita boleh tingkatkan lagi. Kita bimbang sebab ahli Parlimen ada di seluruh negara. Mereka masih terdedah di dalam komuniti," katanya dalam sidang media di sini pada Khamis.

Pada masa sama katanya, kawalan dan pencegahan di Parlimen akan mengelak Persidangan Dewan Rakyat daripada tergendala. 

"Jadi kita syorkan ujian dua minggu untuk pastikan guna RT PCR. Begitu juga, bukan hanya ahli Parlimen atau petugas, ada juga pegawai di kementerian lain.

"Ada kala mereka kena bertugas di Parlimen, mereka perlu disaring. Jadi siapa masuk Parlimen mesti bebas COVID-19,  ini untuk elak Parlimen daripada ahli Parlimen dijangkiti COVID-19 dan sidang daripada tergendala," tambahnya lagi.