Kementerian Kesihatan akan menetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) kaedah berkhatan bagi semua hospital kerajaan, pusat perubatan serta klinik swasta bagi menjamin keselamatan awam.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, pihak kementerian sedang meneliti cadangan SOP tersebut sebagai panduan keselamatan kepada pengamal perubatan yang mengendalikan prosedur berkhatan.

“Kes ini yang kita buat bersunat ini beratus ribu jumlahnya setahun. Terkena satu atau dua, nasib. Bersunat ini berlaku di luar daripada KKM, bila sudah sampai kepada hospital, keadaan yang kata kepala kemaluan ini tidak boleh hendak disambung tetapi pihak kementerian, pihak hospital berusaha juga untuk hendak menyelamatkan kemaluan dia.

“Itu memang kita buat, kita cuba. Kita tengah bincang, kita perlu adakan SOP untuk kemudahan di klinik kerajaan dan juga untuk swasta. Pada masa hadapan kita akan tentukan SOP, kita hendak jaga keselamatan kanak-kanak ini,” katanya ketika mengulas tiga kes terpotong sebahagian kemaluan membabitkan kanak-kanak berusia sembilan dan 10 tahun ketika proses berkhatan dijalankan.

Beliau berkata pihaknya juga akan mengawal selia peralatan yang digunakan klinik terbabit bagi memastikan ia tidak memberi kesan sampingan.

"Khatan yang dibuat di klinik swasta ada yang menggunakan elektrik untuk potong kulit tu. Kalau tersilap potong, boleh terpotong dengan kemaluan sekali. Bila datang ke hospital, (kemaluan) dah jadi hangus dan hitam. Memang tak boleh buat apa.

"Ambil masa untuk 'reconstruct' balik, nak buat semula...perlu dua, tiga pembedahan. Jadi, tak boleh nak salahkan kerajaan sebab proses khatan tu dibuat di klinik swasta," katanya lagi.

Terdahulu, Dr Hilmi melawat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yu Chye Kuala Sungai Pinang dan mengadakan pertemuan dengan penduduk Kuala Sungai Pinang, di sini hari ini.

Dalam kejadian pada 25 November lepas, seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun terpotong sebahagian kepala kemaluannya ketika berkhatan secara ramai-ramai di sebuah surau berhampiran rumahnya di Sungai Buloh.

Kanak-kanak tersebut dibawa ke Hospital Selayang dua hari selepas menjalani prosedur berkhatan tersebut.
Kejadian berkenaan merupakan kejadian ketiga setelah dua kes dilaporkan berlaku pada Disember lepas.

Pada 15 Disember lalu, seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), selepas bahagian atas kemaluannya terputus ketika prosedur berkhatan menggunakan gunting di sebuah klinik swasta di Jalan Ipoh, di ibu negara.

Sementara itu, seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun turut terpotong kemaluannya ketika prosedur berkhatan menggunakan kaedah laser di sebuah klinik di Taman Cheras Utama, Kajang, pada 20 Disember lalu.