Pengarah JAS Kedah Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata pihaknya menjalankan siasatan dan pemantauan terhadap kilang padi itu semalam, setelah menerima aduan awam.
"Kilang padi itu dikenakan tindakan POK di bawah Seksyen 38 (1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 hari ini setelah mendapati alat kawalan pencemaran udara gagal berfungsi dengan baik dan mengalami kebocoran sehingga menyebabkan berlaku pencemaran udara yang ketara di sekitarnya.
"Tindakan POK itu diambil bagi menghentikan pencemaran daripada terus berlaku dan kilang padi berkenaan diarahkan untuk menghentikan operasi supaya langkah-langkah pembaikan dapat dijalankan dengan segera bagi mengawal pencemaran yang berlaku," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata Notis Arahan di bawah Seksyen 31 dan 37 AKAS 1974 dikeluarkan kepada kilang itu untuk tindakan pembaikan dan penyelenggaraan segera dalam tempoh POK yang telah ditetapkan.
"Kilang itu akan dibenarkan beroperasi kembali selepas JAS Kedah berpuas hati dengan langkah pembaikan yang diambil. Pihak industri diingatkan agar sentiasa mematuhi sepenuhnya Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya serta memastikan tidak menyebabkan berlakunya pencemaran kepada alam sekeliling.
"Orang ramai diminta melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau e-mel ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my," katanya.
-- BERNAMA
