KUALA LUMPUR: Sebuah kilang kertas kitar semula di Banting diberi notis larang serta merta susulan kerana gagal menyediakan sistem kerja selamat sehingga menyebabkan seorang pekerja tempatan berusia 22 tahun maut dalam kemalangan, Rabu lalu.

Pejabat Pengarah, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKJP) Selangor dalam satu kenyataan memberitahu, notis tersebut termasuk arahan larangan menganggu kawasan kemalangan. 

Selain itu, menurut kenyataan itu, dua notis pembaikan turut dikeluarkan kepada majikan itu kerana gagal memasang penghadang pada bahagian berputar bagi mesin solid fuel conveyor dan mengadakan 
interlocking dan sistem lockout–tagout (LOTO) pada mesin solid fuel conveyor.


"Di samping itu, surat arahan juga, dikeluarkan kepada majikan bagi menjalankan penaksiran semula terhadap risiko bagi kerja-kerja pembersihan di seluruh kawasan mesin solid fuel conveyor," katanya.

JKJP Selangor memberitahu, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kemalangan dan pihak yang bertanggungjawab ke atas kemalangan tersebut.

"Sekiranya didapati ada unsur-unsur pelanggaran  di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, majikan terbabit bakal berdepan tindakan perundangan," ujarnya.



Berdasarkan siasatan awal yang dijalankan, JKKP Selangor mendapati dalam kejadian kira-kira pukul 2.20 petang Rabu, mangsa bersama seorang rakan ditugaskan untuk kerja-kerja pembersihan di bahagian pully pada mesin solid fuel conveyor secara manual iaitu dengan menggunakan penyodok.

"Namun penyodok dan badan mangsa dikatakan tersangkut antara pully dan tali sawat conveyor yang sedang beroperasi, menyebabkan mangsa tertarik dan berpusing pada pully dan terjatuh melalui sebuah lubang belting tensioner yang berada bersebelahan dengan pully tersebut.

"Mangsa terjatuh dari ketinggian kira-kira 24 meter dari aras lantai," jelasnya.

Katanya, pegawai perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia ketika tiba di hospital.

Menurut kenyataan itu, JKKP Selangor mengarahkan sepasukan pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan, sebaik sahaja menerima maklumat mengenai kejadian tersebut yang tular di media sosial, sejak Rabu lalu.

"JKKP memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam. Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja.

"Majikan bertanggungjawab untuk mengenal pasti terlebih dahulu bahaya-bahaya di tempat kerja, membuat penilaian risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja," tambahnya.

Menurut kenyataan itu, ia bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan mengelakkan berlakunya kemalangan.

"Adalah menjadi tanggungjawab majikan untuk melaporkan kemalangan maut yang berlaku dengan serta merta ke JKKP dengan cara yang paling cepat seperti mana yang termaktub dalam Peraturan 5 (1), Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pemberitahuan Mengenai Kemalangan, Kejadian Berbahaya, Keracunan Pekerjaan dan Penyakit Pekerjaan) 2004." katanya.

Kenyataan itu memberitahu, kejadian seumpama itu boleh dielakkan sekiranya majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC).