BUKIT MERTAJAM: Seramai 45 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam serbuan di dua buah kilang di Kawasan Perindustrian Juru, di sini, hari ini.

Dalam serbuan kira-kira jam 10.40 pagi itu,  kesemua PATI yang  berusia antara  20 hingga 35 tahun yang  ditahan merupakan pekerja di kilang tersebut.

Menurut Pengarah JIM Pulau Pinang, Shah Inor Shah budin, serbuan dilakukan di kilang pembuatan plastik dan kotak yang didakwa  beroperasi dengan menggajikan pekerja asing.

"Mereka ditahan selepas didapati melakukan kesalahan antaranya  tiada dokumen perjalanan yang sah, penyalahgunaan pas lawatan dan tinggal di negara ini melebihi masa," katanya di sini, hari ini.

Menurut Shah Inor, dalam operasi selama dua jam itu, tujuh pekerja bertindak agresif dengan cuba melarikan diri ke kawasan semak berdekatan kilang namun berjaya ditahan.

Katanya, ketika disoal siasat, mereka enggan mendedahkan maklumat  bagaimana memasuki negara ini.

Beliau berkata, 16 PATI disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, manakala 29 lagi mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Kesemua PATI tersebut dihantar ke Lokap Penguat Kuasa Pejabat Imigresen Seberang Jaya untuk siasatan lanjut.