KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) menjelaskan tindakan menjual kepentingan dalam FashionValet, setelah pelaburan awal sebanyak RM27 juta pada tahun 2018 adalah bagi memacu syarikat e-dagang fesyen tempatan itu.

Dalam satu kenyataan, Khazanah mejelaskan, penjualan itu bagi mengalihkan pemilikan kepada pihak baharu yang berupaya memacu syarikat ke arah trajektori pertumbuhan sejajar dengan tempoh pegangan pelaburan yang telah mencapai matlamat.

"Keputusan menjual kepentingan kepada NXBT Partners yang diterajui seorang usahawan tempatan berpengalaman dibuat setelah FashionValet berdepan pelbagai cabaran terutama kesan pandemik COVID-19.

"FashionValet yang sebelum ini memasarkan lebih daripada 400 jenama dengan jangkaan pertumbuhan pendapatan tahunan sekitar 60 peratus kini mengubah fokus kepada pembangunan jenama milik penuh, Duck dan Lilit bagi mengekalkan margin dan aliran tunai.

"FashionValet mengalami cabaran besar terutama dalam usaha pengumpulan dana ketika persekitaran ekonomi yang tidak menentu pada tahun 2022-2023. NXBT Partners tampil menawarkan suntikan modal penting dan sokongan pengurusan untuk membantu kelangsungan syarikat ini," jelas kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu lagi, pelaburan awal dalam FashionValet dibuat berdasarkan potensi serta komitmen untuk menyokong usahawan Malaysia dan syarikat-syarikat pada peringkat awal.

Ini termasuk tema pelaburan 'Offline-to-Online' yang mendorong tindakan Khazanah untuk melabur dalam syarikat tersebut pada masa itu.

Sementara itu, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam kenyataan pada Jumaat turut menegaskan, pelaburan dibuat menggunakan dana proprietari PNB dan bukan dana amanah saham di bawah Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) yang dilanggan oleh orang awam.

“Walaupun kesal dengan kerugian yang dialami sebanyak RM18.7 juta selepas menerima hasil jualan sebanyak RM1.3 juta tetapi ini harus dilihat dalam konteks aset pelaburan bernilai RM337 bilion yang diuruskan oleh PNB dan RM16.4 bilion dalam pendapatan pelaburan yang dijana selepas mengambil kira kerugian pada TK23,” jelas kenyataan itu.

Dana Proprietari PNB pada 2018 telah mengambil bahagian dalam pengumpulan dana Siri C FV melalui pelaburan dalam Saham Keutamaan Boleh Tukar Boleh Tebus (RCPS) bernilai USD5 juta (RM20 juta) untuk memperoleh sedikit pegangan minoriti tidak langsung.

Ia dibuat setelah melalui proses penilaian terperinci dan ketekunan wajar pelaburan swasta PNB dan dilaksanakan pada nilai pasaran yang berpatutan bagi mencerminkan trajektori pertumbuhan FV yang kukuh dengan peningkatan pendapatan sekitar 60 peratus setiap tahun dalam tempoh tiga tahun sebelumnya.

"Kami percaya bahawa ekosistem permulaan adalah penggerak inovasi, pertumbuhan ekonomi dan penciptaan pekerjaan di Malaysia," tambah kenyataan itu.

Walaupun terdapat risiko pelaburan dan cabaran yang lebih tinggi dengan syarikat peringkat awal, Khazanah akan terus berdedikasi untuk menyokong syarikat permulaan tempatan dan akan terus bersama
mereka sehingga mencapai kejayaan serta pertumbuhan.