KUALA LUMPUR: Jawatan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) yang dipegang oleh Dr Mohd Khairuddin Othman telah ditamatkan hanya selepas enam bulan dilantik.

Mohd Khairuddin, yang juga Setiausaha PKR Selangor, mengesahkan perkara tersebut ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Namun, beliau tidak mengulas lanjut mengenai sebab penamatan ataupun tarikh rasmi penamatan jawatannya.

Beliau turut mencadangkan agar pihak media merujuk kepada Kementerian Komunikasi untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut.

"Ya, betul. Saya sudah tidak lagi menjadi Ketua Pengarah J-KOM.

“Sebaiknya rujuk kepada menteri," ujarnya.

Khairuddin dilantik ke jawatan tersebut pada 1 Mac, menggantikan Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff yang meletak jawatan pada November tahun lalu atas sebab menerima tawaran kerja baharu.



Tags: J-KOM, Mohd Khairuddin Othman, Kementerian Komunikasi, penamatan jawatan