MELAKA: Ketidaksempurnaan anggota badan bukan penghalang buat Mohd Azizi Che Pa, 32, untuk mencari pekerjaan baharu setelah lebih tiga tahun tidak bekerja akibat ketumbuhan di kaki kanan sebelum kakinya itu terpaksa dipotong dua tahun lepas.

Anak kelahiran Perlis itu berkata sebelum mengalami ketumbuhan pada kaki, dia terlibat dalam kemalangan pada 2014 namun tidak dirujuk kepada mana-mana hospital untuk rawatan lanjut sehinggalah berdepan masalah sukar berjalan dan perlu dibedah pada 2019 untuk memasukkan besi.

Mohd Azizi, yang kini menjalani rawatan fisioterapi menggunakan kaki palsu di Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Tun Abdul Razak di sini sejak tiga bulan lepas, berkata kakinya terpaksa dipotong akibat jangkitan kuman dua tahun lepas.

"Saya berharap untuk kembali bekerja dan mendapat semangat mulakan hidup baharu walaupun sekarang ini keadaan saya kurang sempurna. Ia bukan penghalang untuk saya menjalani kehidupan normal seperti orang lain.

"Hari ini saya hadir di karnival kerjaya untuk menjalani temu duga. Saya berminat bekerja dalam industri perhotelan kerana di Melaka banyak hotel dan harap ada peluang kerja yang sesuai dengan keupayaan saya," katanya ketika menghadiri Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 Melaka Careertrans di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka hari ini.

Pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan di negeri kelahirannya, Mohd Azizi berkata dia berminat menghadiri temu duga pekerjaan dengan tiga hotel pada karnival itu selepas namanya disenaraikan Perkeso.

Katanya, peluang yang ada tidak akan disia-siakan kerana jika mendapat pekerjaan di Melaka, rawatan dan sesi fisioterapi dapat diteruskan untuk memastikan dia mampu berjalan dengan baik menggunakan kaki palsu.



Bagi Salman Farisi Sazali, 23, dari Taman Seri Duyong, percubaannya untuk mencari kerja baharu di karnival itu tidak sia-sia selepas diterima bekerja sebagai operator di sebuah kilang di Batu Berendam bermula 5 Julai ini.

Pekerja sektor peruncitan itu berkata dia berhasrat mencuba bidang baharu tetapi tidak menaruh harapan yang tinggi kerana tidak mahu kecewa.

"Alhamdulillah, tidak sangka saya dapat pekerjaan baharu. Saya ingin bertukar angin kerana mahu mencabar diri sendiri dan ini pekerjaan keempat yang telah saya cuba selain mencari pekerjaan lebih baik serta banyak manfaat untuk masa depan saya.

"Terima kasih kepada Perkeso dan Kerajaan Negeri Melaka kerana menganjurkan karnival ini yang menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat," katanya.

Terdahulu, karnival dua hari itu yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali, turut dihadiri Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri Ngwe Hee Sem serta Ketua Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan Perkeso Azirruan Arifin.

Ketika berucap pada majlis itu, Sulaiman berkata berdasarkan statistik Sistem Insurans Pekerjaan Perkeso, sebanyak 332 individu di Melaka dilaporkan hilang pekerjaan dalam tempoh 1 Jan hingga 1 Jun lepas.

Beliau berkata justeru, penganjuran karnival itu merupakan platform terbaik untuk membantu golongan terbabit dan sebanyak 37 majikan mengambil bahagian dengan menawarkan sejumlah 12,751 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor.

"Kadar pengangguran di negeri ini semakin terkawal pada kadar 3.1 peratus iaitu di bawah kadar pengangguran nasional," katanya.

-- BERNAMA