Ia sedikit sebanyak menjejaskan hal tadbir urus negara serta usaha bantu rakyat yang dalam kesusahan ketika pandemik COVID-19.
Bagi rakyat, mereka mahukan pemimpin dilantik kelak dapat memberi fokus kepada hal tadbir urus negara, dan bukannya berebut kuasa yang akhirnya mengheret rakyat dalam situasi itu.
Bagi pesara kerajaan, Azizah Musa, dia berkata rakyat menjadi mangsa permainan politik untuk memuaskan hati pemimpin di atas dan akhirnya rakyat tidak diendahkan.
"Dua tahun lalu ini kita dah jadi mainan politik untuk puaskan hati beberapa pemimpin dekat atas itu. Dia rebut kuasa kami yang kena mengundi.
"Banyak duit habis untuk pilihan raya saja. Patut bantulah rakyat yang kini bergelut kos sara hidup tinggi, ramai tak kerja. Ini kira nak tukar kerajaan sahaja," jelasnya kepada Astro AWANI.
BACA SEMUA MENGENAI PRU15 DI SINI
Bagi pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), Nurul Yunaidatie Alisa, sebagai belia dia sedar apakah kesan sekiranya ketidakstabilan politik itu terjadi.
"Bagi saya kestabilan politik ni penting kerana dapat selesaikan masalah rakyat, tarik pelabur asing, selesaikan masalah ekonomi.
"Kalau asyik pemimpin saja bergaduh rakyat yang jadi mangsa," jelasnya.
Fokus kepada pemulihan ekonomi merupakan pandangan seorang pekerja sektor swasta, Wan Mohd Fauzi terutama dalam fasa Peralihan ke Endamik ini.
"Saya harap lepas ini bolehlah kerajaan memerintah dengan baik dan seterusnya jagalah rakyat baik-baik, kita tak mahu macam kerajaan dua tahun terumbang ambing.
"Ekonomi merudum, nilai mata wang terumbang ambing, ekonomi merosot. Kita harap ekonomi kita lepas ni berkembang balik," katanya.
Besar harapan rakyat untuk pemimpin dilantik kelak dapat meringankan beban rakyat, membantu mereka yang dalam kesulitan dalam mendepani hari-hari mencabar.