MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin menerima ucapan penghargaan daripada Ketua Pengarah Pertubuhan kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Ucapan terima kasih itu ditujukan kepada Khairy atas kepimpinan dan galakan untuk menyuarakan mengenai isu kesihatan mental.

Dalam ciapannya pada Isnin, Dr Tedros turut menyuarakan mengenai nilai kebersamaan kita mendepani kesihatan mental.


Khairy juga turut membuat hantaran balas penghargaan kepada kepimpinan Dr Tedros di peringkat global.

Jelas Khairy, kita mesti memastikan rawatan kesihatan mental boleh diakses oleh setiap lapisan masyarakat.

Stigma untuk mendapatkan bantuan juga perlu ditangkis dalam masyarakat.

Ini kerana jelasnya ramai individu yang menanggung masalah ini dalam senyap.


Pada Ahad, Khairy menjelaskan kerajaan sedang berusaha mengubah stigma melibatkan penyakit mental bagi memastikan golongan yang terkesan mendapat peluang rawatan dan dibantu tanpa perlu dipandang serong dan dikenakan tindakan undang-undang.

Ia termasuk usaha melakukan beberapa perkara termasuk meminda undang-undang sedia ada berkaitan penyakit mental.