Keadaan kesihatan 10,000 pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang tidak pulang ke rumah susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berada pada tahap terbaik dan bebas daripada jangkitan wabak COVID-19.

Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus Dr Mohd Azraai Kasim, berkata sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac lepas, pelajar yang menetap di dalam dan luar kampus di seluruh negara tidak dibenarkan keluar serta saringan kesihatan dilakukan jika ada dalam kalangan mereka menunjukkan gejala dijangkiti virus berkenaan.

"Selaras dengan pelaksanaan PKP, Pusat Kesihatan UiTM di semua kampus seluruh negara juga beroperasi 24 jam setiap hari bagi memastikan kesihatan 10,000 pelajar ini sentiasa terjaga.

"Untuk makanan pelajar pula, UiTM menyediakan hidangan tiga kali sehari dengan menu berlainan setiap hari. Bagi pelajar yang tinggal di luar kampus, mereka turut dibekalkan dengan makanan seperti mi segera, biskut dan gula," katanya kepada pemberita.

Terdahulu, beliau menyerahkan sumbangan 500 unit peralatan perlindungan diri (PPE) merangkumi 300 alat pelindung muka dan 200 pakaian petugas barisan hadapan yang dihasilkan warga UiTM kepada Angkatan Pertahanan Awam.

Sempena majlis itu, kira-kira 150 pelajar menyertai program menderma darah selama dua hari anjuran Pusat Darah Negara.

-- BERNAMA