KUALA LUMPUR : Pasukan pembelaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberitahu bakal mengemukakan bukti baharu yang lain pada rayuan kes melibatkan dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Persekutuan.

Menurut peguam mewakilinya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, pihaknya sedang berusaha mendapatkan kesemua bukti berkenaan yang dikatakan berada di luar pengetahuan pihaknya sebelum ini.

“Perkara ini baru diterima, dan perkara ini tidak diberitahu kepada kami oleh mana-mana pihak termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis.

“Kita akan mohon kepada Mahkamah Persekutuan untuk (mengemukakan) kesemua keterangan baharu ini,” katanya ketika mengadakan sidang media secara maya pada Jumaat.


SRC International | Sabitan bersalah Najib Razak kekal

Ditanya lanjut mengenai maklumat baharu itu, Shafee bagaimanapun enggan mendedahkannya dan memberitahu mahu memastikan kesahihannya terlebih dahulu.

"Kami tidak boleh mendedahkan sekarang kerana kami perlu mengesahkannya terlebih dahulu. Jika tidak, ia hanya cakap kosong,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, katanya kesemua keterangan baharu itu akan cuba diperoleh dalam masa dua bulan lagi, termasuk proses memfailkan permohonan baharu.

Ujarnya lagi, proses untuk mendapatkan kesemua bahan berkenaan bukan satu perkara yang mudah dan ia memerlukan masa.

Shafee mendakwa, usaha itu menjadi sukar apabila perkara berkenaan disembunyikan pihak tertentu.

Beliau bagaimanapun yakin kesemua bahan berkenaan mampu diperoleh.

Pada 8 Disember, Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil Karim yang bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara mengekalkan sabitan serta hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi ke atas Najib pada 28 Julai 2020.

Panel itu membuat keputusan tersebut selepas menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terbabit.


Kes Rayuan Najib | Prosiding di Mahkamah Persekutuan lebih cepat

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada 28 Julai 2020, menjatuhkan hukuman penjara 72 tahun dan denda RM210 juta kepada Najib selepas mendapati bersalah atas kesemua tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan.

Bagaimanapun, Najib hanya akan menjalani hukuman penjara 12 tahun setelah Hakim Mohd Nazlan memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Presint 1, Putrajaya, antara 17 Ogos 2011 dan 8 Feb 2012.

Najib, 68, masih mempunyai peluang terakhir untuk merayu terhadap keputusan itu di Mahkamah Persekutuan.