Syarikat Petroliam Nasional Berhad (Petronas) mengemukakan permohonan untuk mendengar pembentangan kes saman sivil Sarawak terhadap syarikat itu dilakukan di kamar mahkamah tanpa sebarang penglibatan umum.

Menurut Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri-Pusat dan Pemantauan Projek Sarawak, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, pembentangan itu termasuk memohon hakim menarik diri daripada dengar kes (recusal of judge) dan beberapa permohonan untuk sebutan kes tersebut.

"Petronas meminta kes itu didengar di kamar mahkamah termasuk permohonan 'recusal of judge' dan juga beberapa permohonan lain.

"Ada tiga atau empat permohonan, antara permohonan itu ialah 'recusal of judge', kedua mereka juga ingin mempersoalkan beberapa bidang kuasa dari mahkamah, mereka mahu memindahkan kes ke Mahkamah Persekutuan, dan kemudian, beberapa bantahan lain," katanya ketika ditemui pemberita
di luar pekarangan Mahkamah Tinggi Kuching pada Selasa.

BACA: Sarawak saman Petronas


BACA: Petronas sahkan disaman kerajaan Sarawak

Selain itu, Sharifah Hasidah berkata, pembentangan rumusan pengadilan untuk kerajaan negeri juga akan dilaksanakan hari ini.

"Dan Perintah 14A, ringkasan penghakiman untuk Sarawak akan didengar kemudian, tidak hari ini.

"Pada 2.30 petang ini adalah semakan kehakiman, kita tidak boleh komen banyak, kita tunggu keputusan pengadilan kehakiman," katanya.

Untuk rekod, pada November 2019, Kerajaan Sarawak mengenakan tindakan undang-undang ke atas Petronas atas kegagalan syarikat tersebut membayar cukai jualan negeri produk petroleum bernilai RM1.3 billion.

Sebanyak lima peratus cukai jualan negeri dikenakan bermula 1 Januari 2019 dan Petronas dikatakan satu-satunya syarikat minyak dan gas yang beroperasi di Sarawak yang belum membayar cukai berkenaan.

Turut hadir di Mahkamah Tinggi Kuching ialah Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan beberapa orang menteri-menteri Kabinet negeri serta rakyat yang menyokong kerajaan negeri untuk memenangi kes saman itu.