KUALA LANGAT: Seorang lelaki mengamuk dengan bersenjatakan parang gara-gara ditegur muntah dan buang sampah keluar dari kenderaannya di Telok Panglima Garang di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, laporan kejadian itu diterima pihaknya pada jam 10.50 malam.

Katanya, sampai di lokasi kejadian polis telah menahan seorang lelaki tempatan yang memegang sebilah parang.

"Turut ditahan di lokasi ialah seorang lagi lelaki dan dua wanita tempatan.

"Dua pasang kekasih berusia 22 hingga 24 tahun itu telah direman tiga hari untuk siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Ahmad Ridhwan berkata, pihaknya mengingatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.

Sebelum itu, satu rakaman video berdurasi 52 saat tular memaparkan seorang lelaki mengamuk dengan bersenjatakan parang.

Berdasarkan perkongsian di ruangan komen hantaran tersebut, turut dipaparkan beberapa rakaman video tindakan pantas pihak polis menahan suspek. - Sinar Harian