Polis sedang memburu seorang pemandu kereta Proton Wira dan rakannya yang melarikan diri selepas melanggar sebuah motosikal yang ditunggangi oleh seorang pegawai polis trafik berpangkat Inspektor dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Video berdurasi 24 saat itu memaparkan kereta tersebut pada awalnya dilihat berhenti di bahu jalan selepas diarahkan oleh salah anggota trafik.

Namun demikian, pemandu itu bertindak memecutkan kenderaannya itu sebelum melanggar Inspektor Ismail Aun, 55, yang pada ketika itu sedang menunggang motosikal dengan berpakaian preman.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 8.10 pagi, Jumaat, selepas selesai pemeriksaan sekatan jalan raya di Jalan Persiaran Mokthar Dahari, mangsa meneruskan perjalanan ke Bulatan Puncak Perdana selepas mendapat aduan mengenai kesesakan.






"Ketika dalam perjalanan, tiba-tiba sebuah kereta Proton Wira warna emas bernombor pendaftaran WHQ 4088 dinaiki dua lelaki dipercayai warga Indonesia melanggar mangsa dari arah belakang sewaktu melarikan diri ke arah Puncak Alam," katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.

Baharudin berkata, hasil semakan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati kenderaan itu didaftarkan atas nama Mopid Norasmad, 51, beralamat di Jalan Titiwangsa 24/1, Seksyen 24, Shah Alam.

Kes itu katanya, disiasat mengikut Seksyen 186/307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh pegawai polis.

Beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kedua-dua suspek itu menghubungi balai polis berhampiran dengan segera.

Katanya, mangsa yang mengalami kecederaan di kaki dan badan kini sedang menerima rawatan di Hospital Shah Alam.

Menurut beliau, rakaman dashcam itu dikongsi kepada polis oleh salah seorang pemandu yang kebetulan berada di kawasan berkenaan.