PUTRAJAYA: Jumlah kes demam denggi yang dilaporkan pada minggu epidemiologi (ME) ke-11 tahun ini iaitu 12 Mac hingga 18 Mac menurun 0.05 peratus kepada 2,151 kes berbanding 2,152 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata tiada kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada ME ke-11 tahun ini.

Beliau berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga kini adalah sebanyak 23,753 kes berbanding 7,364 kes bagi tempoh sama pada 2022 iaitu peningkatan sebanyak 222.6 peratus.

Sebanyak 16 kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan sehingga kini berbanding tiga kematian bagi tempoh yang sama pada 2022 iaitu peningkatan sebanyak 13 kematian, katanya.

Lokaliti hotspot dilaporkan adalah kekal seperti minggu sebelumnya iaitu 91 lokaliti, dengan 54 lokaliti hotspot berada di Selangor, 16 di Pulau Pinang, 11 di Sabah, masing-masing lima di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, tiga di Perak serta masing-masing satu di Kedah dan Negeri Sembilan.

Dr Noor Hisham berkata survelan Chikungunya merekodkan sebanyak tujuh kes pada ME ke-11 dengan lima kes di Johor dan dua kes di Selangor, manakala jumlah kumulatif kes Chikungunya sehingga kini adalah 106 kes

Bagi survelan Zika, beliau berkata sebanyak 539 sampel darah serta empat sampel urin telah dijalankan saringan Zika dan hasil kesemuanya adalah negatif.

Sempena Ramadan Khamis ini, beliau turut mengingatkan pengunjung Bazar Ramadan agar menggunakan bahan penghindar nyamuk sekiranya mengunjungi premis terbabit pada lewat petang.

"Peniaga di Bazar Ramadan dan pengunjung perlu menjaga kebersihan persekitaran serta melupuskan bekas yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk seperti tempurung, kulit kelapa, bekas makanan dan minuman di tempat pelupusan yang disediakan," katanya.

-- BERNAMA