KUALA LUMPUR: Kerajaan menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat kes seorang pegawai kadet di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang dipercayai menjadi mangsa buli dan dera oleh penuntut senior.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun menegaskan, budaya buli perlu dihentikan kerana ia menyebabkan penganiayaan kepada mangsa.

“Itu urusan polis… saya cuma boleh nasihatkan kepada umum. Jangan berlaku di sekolah, sekolah menengah, sekolah maahab tahfiz, dan semua (sektor).

“Guru besar, pengetua, pihak taska, dam pengetua kolej juga bertanggungjawab untuk melihat bagaimana (cara) hentikan budaya buli.

“Ia kerana terlalu banyak aduan… Yang itu (pelajar UPNM) kebetulan terbongkar di media soal.

“Tetapi ini harus dihentikan, niaya anak-anak,” katanya ditemui selepas selesai Program Temu Anwar di UPNM di sini pada Jumaat.

Beliau menjawab pertanyaan pemberita mengenai perkembangan dan hasil perbincangan dengan Naib Canselor UPNM melibatkan dakwaan berlaku kes buli di institusi pengajian tersebut.

Terdahulu, media melaporkan seorang penuntut UPNM yang mengambil jurusan kejuruteraan didakwa menjadi mangsa buli penuntut senior, cedera dipercayai ditekap seterika.

Semalam, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kenyataan menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kes berkenaan dan siasatan sedang dijalankan.

Sebelum ini negara turut digemparkan dengan kematian tragis pegawai kadet laut UPNM, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain akibat dibuli, dipukul dan diseksa apabila hampir keseluruhan anggota badannya berulang kali ditekap menggunakan seterika wap.

Susulan kes yang berlaku pada 2017 itu, enam bekas penuntut UPNM dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan pada 23 Julai lepas selepas didapati bersalah melakukan perbuatan berkenaan.