KUALA LUMPUR: Islam tidak menganjurkan untuk menyimpan jenazah terlalu lama sehingga mendatangkan kemudaratan kepada jasad jika tiada alasan munasabah, tegas Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Menurut Mufti Perlis itu, ini kerana Islam tidak hanya menitikberatkan hak terhadap mereka yang masih hidup, tetapi juga memastikan hak jenazah dipelihara.

Bahkan, kata Mohd Asri, keperluan untuk segera menguruskan pengebumian jenazah juga bertepatan dengan ajaran Nabi Muhammad SAW yang bersabda, apabila mati seorang daripada kamu, jangan simpan dan segera bawa ke kubur.

Bahkan, jelas beliau, golongan ulama juga turut berbincang tentang kadar mana boleh ditahan atau disimpan jenazah.

"Bagi keluarga ataupun pihak yang menguruskan (jenazah), mereka boleh melewatkan atau menangguhkan proses pengurusan jenazah jika ada keperluan yang sewajarnya seperti siasatan terhadap kes jenayah, bedah siasat dan seumpamanya.

"Namun, jika tiada (sebarang alasan yang munasabah), hendaklah segera dibawa ke kubur dan mereka (ulama) memberi kadar tidak boleh sehingga ditangguhkan tanpa alasan sehingga merosakkan jenazah yakni (jenazah) mula berbau ataupun rosak.

"Kalau kadangkala lewat sedikit kerana keluarga mahu balik tengok ataupun anak, itu jugaMdibolehkan dengan kadar yang mana tidak sampai merosakkan jenazah, itu asasnya," kata Mohd Asri dalam wawancara bersama AWANI Pagi pada Sabtu.



Menurut Mohd Asri juga, Islam sangat menganjurkan penghormatan terhadap jenazah, termasuk jenazah bukan Muslim sebagai tanda menghormati nilai kemanusiaan sejagat.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas perkongsian kisah pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), Wan Chai berkenaan jenazah bayi istimewa yang terpaksa menunggu dua minggu untuk dikebumikan yang tular di media sosial.