KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengemukakan notis usul tergempar kepada Dewan Rakyat supaya memberi laluan kepada Peguam Negara untuk menjelaskan mengenai keputusan melepas tanpa membebaskan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam notis usul tergempar yang dikongsi di X, beliau meminta sidang Parlimen pada 11 September ini ditangguhkan mengikut Perkara 18 (1) dan (2) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat untuk memohon penjelasan daripada Peguam Negara mengenai keputusan menghentikan prosiding mahkamah membabitkan 47 pertuduhan Ahmad Zahid.

"Usul ini adalah perkara tertentu kerana Majlis Dewan (Dewan Rakyat) berhak mengetahui perincian dan asas keputusan berkenaan kerana Timbalan Perdana Menteri adalah seorang anggota pentadbiran kanan Kerajaan Persekutuan dan seorang ahli Dewan Rakyat.

"Peguam Negara perlu menyatakan perkara yang menjadi asas kepada penarikan 47 pertuduhan itu sedangkan mahkamah (Mahkamah Tinggi) memutuskan wujud prima facie dan Timbalan Perdana Menteri diarah membela diri," katanya di sini pada Jumaat

Sehubungan itu, Wan Ahmad Fayhsal berharap usul itu disegerakan memandangkan ia membabitkan imej baik serta kredibiliti institusi Peguam Negara yang secara umum sedang hangat diperkatakan.

Beliau berkata penjelasan segera daripada Peguam Negara itu dapat melenyapkan persoalan serta pertikaian awam terhadap isu itu.

"Jadi usul ini penting bagi memastikan tiada campur tangan dari pihak kerajaan khususnya pimpinan tertinggi negara dalam kes berprofil tinggi yang membabitkan ahli politik.

"Usul ini juga membabitkan kepentingan ramai untuk mengetahui mengapa 47 pertuduhan itu tidak diteruskan walaupun sebanyak 99 saksi pendakwaan sudah memberikan keterangan," katanya.

Isnin lalu, Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah, membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, yang memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid pada peringkat ini.