Hasrat kerajaan untuk mewajibkan penggunaan kerusi kanak-kanak untuk semua kenderaan haruslah diterima dengan hati terbuka.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, usaha itu adalah bagi memupuk kesedaran terhadap isu keselamatan kanak-kanak ketika berada di jalan raya.

Beliau berkata, adalah menjadi keutamaan KPDNHE untuk menyokong usul yang dibawakan Kementerian Pengangkutan itu kerana ia berkait rapat dengan hal kepenggunaan dalam kalangan rakyat.

Jelas Saifuddin, beliau akan bertemu dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada Rabu ini bagi membincangkan isu berkenaan secara lanjut.



"Melalui kempen dan juga kawal selia seperti yang disebut penggunaan tempat duduk bayi dalam kenderaan, sebenarnya tujuannya bagi meningkatkan kesedaran keselamatan dalam kalangan rakyat.

"Ini supaya angka kemalangan dan juga kematian akibat kemalangan jalan raya itu dapat dikurangkan," katanya.

Beliau menambah, ini memandangkan pengguna jalan raya Malaysia sudah mencecah 18 juta orang dengan pecahannya melibatkan 11.6 juta pemandu kenderaan dan penunggang motosikal sekitar 7 juta orang.

Saifuddin berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Restoran 'The Red Snapper Curry House' di Kolombong, Inanam, Kota Kinabalu, pada Isnin.

Sementara itu mengulas mengenai industri makanan dan minuman (F&B), Saifuddin berkata, sokongan kerajaan mampu melonjak industri tersebut ke tahap tertinggi terutamanya di Sabah.

"Industri F&B di negara kita sebenarnya berkembang pesat, kerajaan memang sokong penuh untuk memudah cara urusan berkaitan dengan industri F&B ini.

"Satu daripada cabang penting adalah restoran yang memberi peluang kepada bukan sahaja rakyat tempatan tetapi pelancong asiong untuk menikmati menu tempatan, kelebihan di Sabah ini adalah industri makanan lautnya yang cukup terkenal," katanya.