KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) bercadang untuk membangunkan Kertas Putih Kesihatan ke arah mengukuhkan sistem kesihatan negara secara menyeluruh.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, usaha itu dilakukan bagi memastikan perkhidmatan kesihatan lebih saksama, berkualiti tinggi, mudah diakses dengan kos berpatutan dan mampan untuk jangka masa panjang.

Menurutnya, Kertas Putih Kesihatan itu dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada November 2022.

“Usaha pengukuhan ini adalah penting bagi memenuhi keperluan kesihatan rakyat selari dengan status Malaysia sekarang sebagai negara berpendapatan sederhana tinggi dan untuk masa depan.

“Semua usaha ini akan melibatkan pendekatan ‘whole-of-government’ dan ‘whole-of-society’ bagi menggembleng tindakan pelbagai pihak dalam memastikan kesihatan rakyat lebih baik.

“Kertas Putih Kesihatan adalah satu ikhtiar Kementerian Kesihatan untuk membuka hujah dan perbincangan bersama rakyat serta pihak berkepentingan mengenai sistem kesihatan negara yang memerlukan penambahbaikan yang mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat pada Selasa bagi menjawab soalan Wong Hon Wai (PH - Bukit Bendera) yan meminta Menteri Kesihatan menyatakan apakah skop untuk Kertas Putih Kesihatan yang sedang diusahakan KKM.

Dalam pada itu, Khairy berkata, Kertas Putih itu merupakan dokumen rasmi kerajaan yang akan menggariskan status semasa, jurang dan kekangan yang dihadapi.

“Dokumen ini juga akan mengemukakan cadangan penyelesaian secara berfasa dari segi reformasi penyampaian perkhidmatan, pembiayaan, tadbir urus serta organisasi merangkumi tempoh 15 tahun.

“Penyediaan Kertas Putih Kesihatan ini akan mengambil kira hasil serta syor pelbagai kajian sistem kesihatan yang telah dilaksanakan sebelum ini dan juga pandangan pihak berkepentingan termasuk rakyat melalui sesi libat urus,” ujarnya.